LANGKAWI – Seramai 11 migran yang dipercayai mangsa insiden bot karam dekat Pulau Tarutao ditemukan dalam keadaan terapung di perairan ini sebelum diselamatkan kapal dagang, kapal layar dan bot nelayan tempatan.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, daripada 11 migran tersebut, seorang wanita etnik Rohingya ditemukan sudah meninggal dunia.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuah, tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita disyaki warga Myanmar ditemui hanyut di perairan Tanjung Chincin.
“Mereka telah diselamatkan oleh kapal MV Hong Linh 1 pada pukul 8.30 pagi semalam sebelum dibawa ke Jeti Kilang Simen Teluk Ewa dan diserahkan kepada Balai Polis Ayer Hangat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, kata beliau, operasi mencari dan menyelamat (carilamat) pada petang semalam menemukan lebih banyak petunjuk.
“Pada pukul 2.05 petang, aset Petir 81 milik Maritim Malaysia menemukan mayat seorang wanita terapung di laut dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi sebelum diserahkan kepada Polis Kuala Teriang.
“Tidak lama kemudian, aset sama turut mengesan seorang lelaki warga Bangladesh di atas Kapal Layar APHRODITE. Mangsa diselamatkan dan diserahkan kepada pihak IPD Kuah,” ujarnya.
Menurutnya, dalam operasi berasingan, aset Benteng 7 turut menemui seorang wanita disyaki migran Myanmar di atas sebuah vesel nelayan tempatan sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada IPD Kuah Langkawi untuk siasatan lanjut.
“Seterusnya pada pukul 11.45 malam tadi, Bot Petir 81 Maritim Malaysia telah mengiringi Kapal Layar ADVENTURE yang telah menemui empat lelaki Myanmar dan dibawa ke Jeti Telaga Harbour dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Manakala seorang lagi mangsa disyaki dari Myanmar turut dijumpai oleh seorang pengawal keselamatan setelah mangsa terdampar di kawasan Kelab Golf Datai. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak IPD, Kuah,” jelasnya.
Beliau pada masa sama tidak menolak kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa yang mungkin masih berada di laut berdasarkan maklumat risikan awal bahawa bot yang dinaiki mangsa berlepas dari Buthidaung, Myanmar, dengan anggaran 300 penumpang dan dipercayai telah karam tiga hari lalu di kawasan sempadan perairan Thailand–Malaysia. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1














![[VIDEO] Bot karam: Ramai masih hilang, bot dipercayai karam dekat Pulau Tarutao](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/bot-karam-rohingya.jpeg)


































