[VIDEO] Budak lelaki 11 tahun terbabas pandu kereta ibu

13 hours ago 7

KLANG – Tindakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memandu kereta ibunya untuk pergi ke kedai mengundang padah apabila terbabas ke dalam longkang di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang turut dinaiki adiknya berusia tujuh tahun dan sepupu mereka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian itu tular di media sosial dan pihaknya berjaya mengesan pemilik kereta serta tiga kanak-kanak tersebut.

Jelasnya, kanak-kanak itu terdiri daripada dua beradik pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan seorang lagi sepupu mereka warga tempatan.

“Siasatan awal mendapati kereta itu pada awalnya dipandu ibu pasangan beradik berkenaan yang juga pemegang kad UNHCR dari kawasan Bandar Sultan Suleiman menuju ke rumah kakaknya di Telok Gong.

“Setelah tiba di rumah, wanita itu pergi seketika ke tandas dan anak lelakinya berusia 11 tahun mengambil kunci kereta lalu mengajak adik serta sepupunya pergi ke kedai,” katanya hari ini.

Menurut Ramli, kereta itu dipandu sejauh kira-kira dua kilometer (km) sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke longkang bahu jalan.

“Kejadian itu berlaku berdekatan kawasan kejadian yang mahu dituju kanak-kanak berkenaan.

“Tiada kecederaan dilaporkan manakala kereta itu mengalami kerosakan kecil pada bonet depan sebelah kanan,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak bertimbang rasa dan Seksyen 39 (1) akta sama kerana memandu tanpa lesen (bawah umur).

“Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti unsur pengabaian terhadap kanak-kanak terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |