LANGKAWI – Lebih ramai migran lagi dipercayai masih berada di laut susulan kejadian bot yang membawa kira-kira 300 orang karam dekat Pulau Tarutao, Thailand.
Lokasi kejadian dipercayai terletak di kawasan perairan sebelum sempadan Thailand–Malaysia.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa yang mungkin masih berada di laut.
Katanya, ia berdasarkan maklumat risikan awal bahawa bot yang dinaiki mangsa berlepas dari Buthidaung, Myanmar dengan anggaran 300 penumpang dan dipercayai telah karam tiga hari lalu di kawasan sempadan perairan Thailand–Malaysia.
“Setakat ini, seramai 11 orang termasuk satu mayat telah dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa Malaysia bukan transit bagi sebarang cubaan kemasukan tidak sah ke negara ini.
“Setiap cubaan untuk memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran akan dikesan dan diambil tindakan tegas. Isu ini bukan sekadar kemanusiaan tetapi turut melibatkan keselamatan negara,” tegasnya.
Menurut Romli, sindiket rentas sempadan kini semakin aktif mengeksploitasi migran dengan menjadikan mereka mangsa perdagangan manusia menggunakan laluan laut berisiko tinggi.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia. Semua yang terlibat akan diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya bersama pasukan keselamatan lain kini sedang melaksanakan Operasi Guard 5.0, iaitu operasi bersepadu yang dijalankan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menjaga sempadan perairan Malaysia–Thailand.
“Kita juga mahu mengekang kemasukan bot pendatang asing tanpa izin (PATI), khususnya dari Myanmar yang kebiasaannya dijangka memasuki perairan negara pada hujung tahun seperti sebelum ini,” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai khususnya komuniti maritim seperti nelayan dan pengusaha bot pelancongan agar segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 04-966 2750 / 04-966 5307 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3
![[VIDEO] Migran hanyut diselamatkan kapal dagang, kapal layar dan bot nelayan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/migran-bot-karam.jpeg)















![[VIDEO] PDRM setaraf negara maju boleh jejak ‘ds account’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/media-sosial-gambar-hiasan.jpeg)
































