MANILA – Hampir satu juta orang dipindahkan, manakala paras banjir meningkat di Filipina semalam menjelang ketibaan Taufan Fung-wong atau lebih dikenali sebagai Taufan Uwan oleh penduduk tempatan.
Uwan yang memiliki saiz sebesar negara Filipina mencapai status taufan super semalam dan dijangka menghentam Filipina lewat malam ini atau pagi esok.
Pulau Catanduanes yang pertama akan dibadai Fung-wong atau dikenali sebagai Taufan Uwan oleh penduduk Filipina, telah pun dilanda angin kencang dan hujan lebat pagi kelmarin.
Taufan itu datang hanya beberapa hari selepas satu lagi ribut kuat menghentam Filipina. Uwan bergerak ke arah barat dengan kelajuan angin 185 kilometer sejam.
“Ombak mula menderu sekitar pukul 7 pagi (semalam). Apabila ombak melanda tembok laut, rasanya seperti tanah bergegar.
“Hujan lebat mencurah-curah dan saya boleh mendengar angin menderu kuat,” kata penduduk bandar Virac di Catanduanes, Edson Casarino, 33, kepada AFP.
Semalam juga menyaksikan penduduk pulau itu mengikat rumah mereka dan meletakkan pemberat di atas bumbung.
“Kami mengikat bumbung dengan tali besar dan menambatkannya ke tanah, supaya tidak diterbangkan angin,” kata pegawai penyelamat wilayah, Roberto Monterola kepada AFP.
Di Sorsogon, sebuah bandar di selatan Luzon iaitu pulau terbesar Filipina, beberapa orang mencari perlindungan di gereja.
“Saya berada di sini kerana ombak berhampiran rumah saya kini besar. Saya tinggal berhampiran pantai, dan angin di sana sangat kuat,” kata Maxine Dugan kepada AFP petang semalam.
Di wilayah pesisir Aurora, di mana Uwan dijangka melanda lewat hari ini atau awal pagi esok, anggota-anggota penyelamat pergi dari pintu ke pintu untuk menasihati penduduk supaya berpindah ke tempat lebih tinggi.
Uwan dijangka membawa taburan hujan lebih 200 milimeter yang boleh menyebabkan banjir meluas, kata ahli meteorologi kerajaan, Benison Estareja kepada pemberita semalam.
Hanya beberapa hari sebelum itu, Taufan Kalmaegi membawa banjir besar ke bandar-bandar di wilayah Cebu, menghanyutkan banyak kereta, rumah setinggan di tepi sungai dan kontena.
Taufan paling dahsyat pada 2025 itu membunuh sekurang-kurangnya 204 orang dengan menyebabkan 109 yang lain hilang, demikian menurut angka kerajaan.
Sekurang-kurangnya lima lagi terbunuh apabila Kalmaegi melanda Vietnam kelmarin. – AFP

3 hours ago
1
















![[VIDEO] Migran hanyut diselamatkan kapal dagang, kapal layar dan bot nelayan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/migran-bot-karam.jpeg)
































