Tiga termasuk bekas Presiden KITA dituduh minta rasuah RM400,000

1 week ago 15

ALOR SETAR – Bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim, 58, antara tiga individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rasuah bernilai RM400,000 tahun lalu.

Dua lagi tertuduh ialah Jamal Muhaideen Mohmad Hussin, 41, pembantu tukang masak dan Muhammad Redza Adzmi, 34, mekanik.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan niat bersama secara rasuah meminta daripada pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin, suapan wang RM400,000 di lobi sebuah hotel di Sungai Petani kira-kira pukul 9 malam, 4 November 2024.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan kononnya untuk membantu menyelesaikan siasatan kes pengubahan wang haram ke atas Yayasan Ar-Riyadah oleh Polis Diraja Malaysia.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa secara rasuah bersetuju menerima daripada individu sama wang RM20,000 atas dorongan sama di pekarangan Masjid Al-Khairiyah, Bedong dalam daerah Kuala Muda kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 5 November 2024.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Kesalahan itu boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Fariz Abdul Hamid menawarkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Namun, peguam, Aiman Abdul Rahman yang mewakili Zamil dan Jamal Muhaideen menyifatkan jumlah itu terlalu tinggi dan memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan lebih rendah iaitu RM10,000 seorang.

“Tertuduh, Zamil disara dan dibantu oleh anak-anaknya yang bekerja. Dia mempunyai tujuh anak dengan dua daripadanya berusia 15 tahun dan masih bersekolah manakala seorang lagi berusia lima tahun dan mengalami autisme,” katanya.

Peguam, Datuk S. Ganesan yang mewakili Muhammad Redza berkata, anak guamnya berpendapatan tidak menentu sebagai mekanik, isterinya bekerja di kilang dan mempunyai dua anak bersekolah serta ibu bapa yang bergantung kepadanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 November depan. Kesemua mereka membayar jaminan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |