Suspek menyamar pelanggan mengurut sebelum simbah asid

3 hours ago 4

BACHOK – Salah seorang daripada suspek yang menyimbah cecair dipercayai asid ke arah pemilik sebuah spa dan salun kecantikan di Beris Kubur Besar di sini semalam dipercayai menyamar sebagai pelanggan di premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 27 tahun menerima janji temu dengan seseorang untuk
membuat rawatan mengurut di kedai premisnya.

Menurutnya, ketika mangsa sedang membuka pintu kedainya, suspek bertindak menyimbah cecair dipercayai asid kepada wanita itu sebelum melarikan diri.

“Siasatan dan pemeriksaan Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan menjumpai sebanyak empat kesan cap jari di lokasi kejadian.

“Bekas yang digunakan oleh suspek untuk menyimbah cecair itu turut ditemukan di premis tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohamad Ismail memberitahu, mangsa ketika ini masih lagi menerima rawatan dan siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terlibat sedang dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Sekyen 326 Kanun Keseksaan.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seoranh pemilik sebuah spa dan salun kecantikan cedera pada lengan selepas disimbah cecair yang dipercayai asid oleh tiga individu termasuk dua wanita yang tidak dikenali semasa berada di tingkat atas premisnya di Beris Kubur Besar di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa yang masih memakai telekung selepas menunai solat maghrib berada di dalam kedainya bersama seorang anak.

Saksi kejadian yang merupakan peniaga berhampiran kawasan itu, Izati Aziz, 20, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar beberapa kali jeritan mangsa meminta pertolongan.

Menurutnya, dia turut mendengar mangsa menjerit supaya memanggil polis.

“Saya bergegas keluar dan mendapati mangsa masih memakai telekung solat dan menjerit meminta tolong sambil memimpin tangan anaknya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |