PETALING JAYA – Isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak masih membimbangkan apabila sebanyak 1,181 kes penganiayaan dan penderaan direkodkan di Sabah sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, statistik itu bukan sekadar angka, tetapi mewakili kisah duka, trauma dan ketidakadilan yang menimpa anak-anak kecil yang sepatutnya dilindungi dan diberi kasih sayang.
Katanya, situasi itu menuntut tindakan segera dan kesedaran menyeluruh dalam kalangan masyarakat, termasuk ibu bapa, guru serta komuniti setempat.
“Justeru itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak.
“(Ia) bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti mengenai isu pemeliharaan dan pelindungan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, Penampang, Sabah hari ini.
Menurut beliau, program advokasi ini turut mendedahkan peranan pelbagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak serta memberi informasi mengenai saluran aduan seperti Talian Kasih 15999 dan aplikasi WhatsApp 019-2615999.
“Pada tahun 2024, program ini telah dilaksanakan di semua negeri di Malaysia termasuk 10 buah sekolah di Sabah.
“Susulan kejayaan tersebut, program ini kini disasarkan untuk dilaksanakan di 300 buah sekolah lagi sebagai kesinambungan usaha memperkasa kanak-kanak melalui advokasi perlindungan kanak-kanak ini,” katanya.
Pada majlis sama, satu plag Talian Kasih diserahkan kepada Pengetua SMK Limbanak sebagai simbolik sokongan terhadap advokasi perlindungan kanak-kanak.
Turut disampaikan ialah mock cek cura berjumlah RM170,760 kepada Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah Penampang, Mardianah Ibo. – KOSMO! ONLINE