PUTRAJAYA- Pasangan panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi selamat dihantar pulang ke China setelah berada di Malaysia sejak 21 Mei 2014 bagi memenuhi terma perjanjian menerusi Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda.
Majlis mengucapkan selamat pulang kepada pasangan panda gergasi itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam satu kenyataan berkata, Malaysia telah memeterai perjanjian Projek Kerjasama AntarabangsaKonservasi Giant Panda bersama China Wildlife ConservationAssociation (CWCA), RRC pada 15 Jun 2012.
Katanya, projek itu melibatkan kerjasama antarabangsa Giant Pandas Fu Wa dan Feng Yi.
“Sehingga kini, 20 negara di dunia telah dipinjamkan Giant Panda oleh China.
“Malaysia telah menunjukkan pencapaian luar biasa dalam konservasi ex-situ Giant Panda dengan kelahiran tiga ekor anak panda gergasi,” katanya.
Ketiga-tiga anak panda gergasi itu ialah Nuan di mana ia telah dihantar pulang ke China pada 14 November 2017, manakala Yi Yi dan Sheng Yi pada 29 Ogos 2023 sebagai mematuhi terma perjanjian.
“Kerjasama ini turut meningkatkan pembangunan kapasiti negara dalam bidang penyelidikan dan pengurusan spesies hidupan liar terancam.
“Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda dengan China diteruskan melalui pemeteraian perjanjian baharu pada 16 April lalu bersempena dengan Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia,” katanya.
Pemeteraian perjanjian baharu ini membolehkan Malaysia menerima sepasang panda gergasi
baharu untuk tempoh 10 tahun dari 2025
hingga 2035.
Malaysia dijadual menerima kehadiran sepasang panda gergasi baharu pada 2025. – KOSMO! ONLINE