Rayuan akhir Siti Bainun abai, aniaya Bell esok

3 hours ago 2

PUTRAJAYA – Rayuan akhir pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap hukuman penjara 12 tahun atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella akan didengar esok di Mahkamah Rayuan di sini.

Siti Bainun, 33, memfailkan rayuan akhir itu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun lalu.

Prosiding rayuan itu akan didengar di hadapan panel tiga hakim.

Sementara itu peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun ketika dihubungi mengesahkan prosiding itu berlangsung esok.

“Setakat ini jalan (prosiding rayuan),” kata peguam itu.

Pada 2 Mei tahun lalu, Siti Bainun kekal atas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun itu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin yang mendengar rayuan berhubung sabitan yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Sebelum itu, pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |