Ella ‘jejak kasih’ dengan gitaris legenda Jepun, Kyoji Yamamoto

7 hours ago 3

GENTING HIGHLANDS – Bagai dijanjikan, Ratu Rock Ella diiringi pemain gitar legenda Jepun, Kyoji Yamamoto yang diterbangkan dari Hawaii untuk beraksi dalam Ella USA 30th Anniversary Concert di Arena of Stars, malam tadi.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59, berkata pemuzik juga penerbit album kelimanya, Ella USA yang dirakamkan di California, Amerika Syarikat (AS) pada 1994 itu merupakan antara individu yang menyuntik pengaruh besar dalam kerjaya seninya.

“Selepas lebih tiga dekad bekerjasama bermula dengan album 30110 pada 1992 disusuli Ella USA dua tahun kemudian, kami terus berkawan baik dan saling berhubung.

Saya berbesar hati apabila beliau sanggup menempuh penerbangan panjang dari Hawaii dan perlu transit dahulu di Tokyo, Jepun sebelum tiba Malaysia.

“Sebenarnya beliau pernah menjadi pemuzik undangan ketika Konsert Aniversari ke-30 saya pada 2016,” katanya ketika persembahan mega itu, malam tadi.

Membawakan 20 seleksi terutama daripada album Ella USA, penghibur yang genap 40 tahun berada dalam arena muzik tanah air itu memukau hampir 5,000 penonton dengan aksi bertenaga.

Berkongsi pengalaman menjadi penyanyi pertama Malaysia merakamkan album penuh di AS apatah lagi berada di studio yang pernah digunakan Raja Pop Michael Jackson, akuinya setiap detik sangat berharga.

Biarpun berdepan cabaran tersendiri, Ella menyifatkan buah tangan terbabit menjadi pemangkin terhadap karier nyanyiannya apabila membuka peluang berkolaborasi dengan ramai pemuzik hebat dunia.

Sebenarnya banyak pengalaman ‘mahal’ yang kekal dalam ingatan seperti berjalan dalam suasana sejuk luar biasa untuk ke studio selain merasai impak gempa bumi.

“Walaupun perasaan takut dan gemuruh bersilih ganti, keseluruhan proses rakaman dapat disempurnakan sepenuhnya pada hari tersebut,” ujarnya.

Antara seleksi pilihan daripada Ella USA malam tadi adalah Gemilang, Rindu, Nuri, Ala Amerika, Penawar, Menanti, Mungkin, Itulah Saya, Permata Pemotong Permata, Risau, Esok Lusa Selamanya, dan Aku Kau Dia.

Enggan menghampakan pengikut tegar, anak jati Klang, Selangor itu turut mendendangkan Permata Biru, Standing in the Eyes of the World, Pengemis Cinta, Kitalah Bintang, Sembilu serta Sepi Sekuntum Mawar Merah.

Kali terakhir Ella yang terjun ke arena nyanyian pada usia 18 tahun beraksi di pentas mega adalah dua tahun lalu menerusi Jilid Akhir Ella Puteri Kota Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, bersempena 35 pembabitan dalam arena muzik. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |