SHAH ALAM – Polis ‘mengunci’ pergerakan suspek lelaki kes isu azan di Surau Taman Seraya apabila namanya dimasukkan dalam pekeliling khas bagi menghalang sebarang cubaan melarikan diri ke luar negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tindakan tegas itu diambil sejurus kertas siasatan dibuka susulan beberapa laporan diterima termasuk daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) surau tersebut.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Senarai Pekeliling khas itu bermaksud apabila telah didaftarkan di bawah senarai pekeliling khas ini, akan menyebabkan suspek menghadapi kesukaran untuk ke luar negara.
“Ini disebabkan nama suspek itu telah didaftarkan di lapangan-lapangan terbang sekiranya ada (suspek untuk keluar negara), akan dibuat tangkapan,” katanya ketika ditemui pada program Larian Diraja Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Jelas beliau, suspek tersebut sememangnya dicari bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang tular berhubung kes azan berkenaan.
“Justeru, secepat mungkin sekiranya masyarakat mengetahui keberadaan beliau, kita berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang supaya dapat menyegerakan dan membantu siasatan,” katanya.
Shazeli memaklumkan berdasarkan siasatan mendapati suspek tempatan berkenaan merupakan antara penghuni taman tersebut.
Tegasnya, pihaknya masih mengenal pasti motif sebenar suspek bertindak sedemikian.
“Jadi, beri kami ruang untuk menjalankan siasatan dengan telus dan adil kepada semua pihak yang terlibat. Insya-Allah kita akan update dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan kepada masyarakat supaya mengelakkan diri daripada memberi komen ataupun mengeluarkan yang boleh membawa kepada kesalahan di bawah Akta Hasutan.
“Kita hendaklah menjaga keharmonian di satu kawasan tersebut. Jadi, saya menyeru kepada semua untuk mengawal emosi dalam membuat sebarang tindakan dan kenyataan supaya tidak mengguris dan boleh membuat satu kesalahan Akta Hasutan ataupun lain-lain kesalahan sehingga boleh membuat anda ditangkap,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan AJK Surau Taman Seraya tampil membuat 10 laporan polis susulan dakwaan gangguan melibatkan seorang penduduk setempat yang melemparkan tuduhan berbaur fitnah dan ancaman serta ugutan kepada Pengerusi surau tersebut.
Pengurusan Surau Taman Seraya di sini mendakwa berdepan gangguan berpanjangan daripada seorang individu yang berterusan mempertikaikan beberapa perkara berkaitan pengurusan surau termasuk azan dan solat Jumaat. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
6








![[VIDEO] Tunggu lama depan tong sampah, bila ‘line clear’ terus keluarkan…](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/IMG-20260426-WA0003.jpg)







![[VIDEO] Himpunan Tangkap Azam Baki: Polis buru individu bakar mercun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-25-at-7.27.49-PM.jpeg)































