SINTOK – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kad pengenalan (MyKad) mahasiswa termasuk bagi pembelian petrol bersubsidi RON95 oleh pihak luar.
Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata, isu itu bukan sekadar melibatkan subsidi, tetapi turut menyentuh soal amanah, integriti dan keselamatan mahasiswa yang wajib dipertahankan.
“Isu ini dipandang serius kerana melibatkan integriti mahasiswa serta keselamatan identiti pelajar yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, sejurus isu itu mendapat perhatian umum pada 21 April lalu, pihak MPP UUM mengambil tindakan segera dengan menghubungi pemilik kenderaan yang dikaitkan.
“Pertemuan awal diadakan bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan tersebut dan pada masa sama, usaha lanjut digerakkan untuk mengenal pasti identiti pemilik sebenar kad pengenalan pelajar yang disalahgunakan,” ujarnya.
Menurutnya, pendekatan MPP bukan hanya bersifat responsif, malah berteraskan tindakan proaktif yang mengutamakan perlindungan mahasiswa.
“Sebaik isu ini tular, fokus kami adalah memastikan siasatan bergerak segera, identiti mahasiswa dilindungi dan tindakan susulan diambil tanpa berlengah,” jelasnya.
Katanya, pada 22 April lalu, dua pelajar yang terlibat dikenal pasti dan dihubungi untuk sesi pertemuan bersama MPP bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi.
“Kedua-dua mahasiswa tampil membuat laporan rasmi serta memberikan keterangan kepada Jabatan Keselamatan universiti bagi memastikan siasatan berjalan telus dan menyeluruh,” katanya.
Tambahnya, hasil perbincangan, pihak keselamatan memutuskan untuk mengambil tindakan lanjut terhadap kenderaan terlibat selain meningkatkan pemantauan di kawasan kampus sebagai langkah tegas menangani penyalahgunaan tersebut.
“Saya menyeru seluruh mahasiswa agar lebih berwaspada dalam menjaga dokumen pengenalan diri dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan identiti digunakan pihak lain kerana implikasinya besar kepada individu dan institusi,” katanya.
Kosmo! pada 23 April lalu melaporkan warga asing yang menjalankan perkhidmatan kereta sapu bertindak licik apabila menggunakan MyKad pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk membeli petrol bersubsidi menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) pada harga RM1.99 seliter.
Sebagai ganjaran, pemandu yang dipercayai berasal dari negara Afrika itu menawarkan tambang percuma atau diskaun kepada pelajar yang menggunakan perkhidmatan mereka. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3








![[VIDEO] Tunggu lama depan tong sampah, bila ‘line clear’ terus keluarkan…](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/IMG-20260426-WA0003.jpg)







![[VIDEO] Himpunan Tangkap Azam Baki: Polis buru individu bakar mercun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-25-at-7.27.49-PM.jpeg)































