‘Suami jangan kedekut dengan isteri, rezeki akan tertutup’

9 hours ago 7

PETALING JAYA – Penting memahami konsep rezeki serta keberkatan, selebriti dan usahawan, Ifa Raziah menitipkan pesanan tegas buat kaum suami agar tidak berkira dengan isteri.

Ujar Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 49, rezeki lelaki banyak bergantung kepada keberkatan dan doa isteri yang saban hari menyokong dalam diam, biarpun tanpa diminta.

“Suami jangan kedekut dengan isteri. Rezeki yang awak dapat adalah berkat doa isteri. Kalau suami kedekut dan berkira, rezeki akan tertutup.

“Tapi kenalah ikut kemampuan diri, jangan pula dibandingkan dengan orang lain,” katanya menerusi sebuah program audio siar.

Pelakon Risik Pada Hati itu juga turut berkongsi sikap murah hati suaminya yang tidak pernah menolak permintaannya walaupun melibatkan barangan mewah.

“Suami saya tak pernah kedekut. Saya minta beg LV, dia belikan. Nak jam Rolex, pun dia belikan. Saya teringin sebab tak pernah ada jam mahal.

“Jam itu dia belikan dekat Mekah masa kami pergi umrah sama-sama. Berkat pergi umrah,” ujarnya.

Tambah ibu dua anak itu, selain doa isteri, keberkatan suami juga memainkan peranan besar dalam memastikan kebahagiaan sesebuah rumah tangga sentiasa utuh dan damai.

“Kena ingat, kalau awak berjaya bukan sahaja sebab doa ibu, tetapi juga doa isteri. Kalau di belakang tiada ibu dan isteri, mungkin awak takkan ada di tempat sekarang.

“Saya pun begitu, kalau tiada suami dan ibu serta restu mereka, saya tak akan sampai ke tahap ini,” luahnya.

Untuk rekod, Ifa sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali, namun kedua-duanya berakhir dengan perceraian.

Pada 2004, Ifa sekali lagi berkahwin dengan suami ketiganya, Mohd. Yani Abdul Rahman dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, iaitu Muhammad Shakir Aqili serta mempunyai seorang anak angkat perempuan iaitu Sharifah Putri Umairah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |