Status terakhir untuk keluarga tersayang – Cikgu E

3 hours ago 1

PETALING JAYA – “Andai satu hari nanti saya sudah tiada, ingatlah bahawa setiap nafas terakhir saya dulu adalah kerana kasih dan cinta saya pada kamu semua.”

Itulah pesanan menyentuh hati yang dititipkan pesakit kanser, Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Cikgu E kepada keluarga tersayang.

Menerusi luahan terakhirnya, Nassry menzahirkan rasa syukur dan penghargaan tidak terhingga buat isteri tercinta yang sentiasa menjadi kekuatan sepanjang perjuangannya.
“Awak bukan sekadar isteri, tapi rahmat paling indah yang Allah pinjamkan. Teruslah hidup dengan tenang, saya mahu awak bahagia, sebab bahagia awak itu tanda saya tenang di sana,” katanya dalam hahtaran di Facebook hari ini.

Nassry turut menitipkan kata-kata semangat kepada lima cahaya matanya, yang menjadi penyeri dan penguat semangatnya.

“Anak sulung, Hakeem, awak yang paling awal faham erti pengorbanan. Abah bangga dengan kematangan dan ketabahan awak menjaga keluarga bila abah dah tak mampu. Teruskan jadi pelindung untuk mak dan adik-adik.

“Anak kedua, Hana, kelembutan hati awak sentiasa menyejukkan suasana. Jangan pendam perasaan bila rindu abah nanti, luahkan dalam doa. Abah sentiasa dengar, walau tak nampak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nassry berkata, senyuman anak ketiganya sentiasa menjadi ‘ubat’ dan dia mendoakan agar Aleesya menjadi gadis yang kuat dan sentiasa mengingatkan orang tentang sabar dan syukur.

Selain itu, buat Qistina, Nassry berkata, dia suka melihat cara anaknya itu membuat semua orang ketawa walau dalam duka dan memberi pesanan supaya jangan berhenti menyebar keceriaan itu.

“Kepada anak bongsu, Hafeez, anak kecil abah yang ceria, jangan risau bila abah dah tak ada. Doa awak yang tulus akan terus sampai pada abah. Abah nak awak jadi anak soleh yang selalu doakan mak dan abang-abang serta kakak-kakak.

“Abah sayang kamu semua, sampai ke syurga, insya-Allah. Kalau rindu, pandang langit dan senyum sebab di situ juga abah sedang mendoakan kamu,” luahnya.

Nassry yang juga bekas guru sains sukan dan usahawan disahkan menghidap barah buah pinggang pada Mac tahun lalu.

Difahamkan, dia sebelum ini telah menjalani pembedahan membuang buah pinggang di sebelah kiri.

Bagaimanapun, penyakit kanser itu dipercayai telah merebak ke bahagian kelenjar sebelum menyerang paru-parunya yang kini berada di tahap empat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |