LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot sedang berada dalam fasa untuk mencari kesempurnaan bagi mengembalikan semula reputasi pasukannya sebagai juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Selepas cemerlang dengan dua kemenangan tanpa bolos dalam dua perlawanan lepas, Slot mahu mengekalkan kualiti secara lebih konsisten pada pertemuan dengan Manchester City di Stadium Etihad tengah malam ini.
“Saya tidak terkejut bagaimana pasukan kami mengharungi dua perlawanan lepas. Fokus kami ketika ini untuk mengekalkan konsistensi tetapi ia bukan sesuatu yang bagus apabila kami sering mengalami kekalahan.
“Lapan daripada 10 perlawanan musim ini, kami berdepan dengan cara berbeza. Sekarang kami masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan dan saya harap situasi sebelum ini dapat membantu pasukan mengembalikan prestasi terbaik,” katanya.
Walaupun dilabel sedang berada pada titik terendah ekoran beberapa kekalahan dicatatkan sebelum ini, Slot percaya kemenangan ke atas Aston Villa dan Real Madrid akan mengekalkan status aksi kali ini sebagai perlawanan blockbuster.
Perubahan peranan Florian Wirtz sebagai pemain nombor 10 ke sayap kiri dan meletakkan Dominik Szoboszlai di tengah menjadi antara perkara menarik berjaya dipraktikan oleh Slot.
“Salah satu perkara saya suka tentang kerja dilakukan Dom (Szoboszlai) ketika situasi tanpa bola seperti kita lihat dalam dua perlawanan lepas, ia melebihi kualiti yang dia ada.
“Florian boleh bermain lebih daripada satu posisi berbanding di bahagian kiri seperti apa yang sering dimainkannya ketika menyarung jersi Bayer Leverkusen di bawah Xabi Alonso.
“Kami mahu dia berada di kawasan 18 ela sama ada di bahagian kiri atau kanan bagi membolehkannya mencipta lebih banyak peluang,” katanya.
Satu lagi perkara positif adalah kepulangan Alexander Isak dalam latihan pasukan selepas tersisih tiga minggu ekoran kecederaan pangkal paha, namun penjaga gol, Alisson Becker dan Jeremie Frimpong mungkin akan kembali selepas tempoh rehat antarabangsa. – AGENSI

3 hours ago
2










![[VIDEO] PDRM setaraf negara maju boleh jejak ‘ds account’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/media-sosial-gambar-hiasan.jpeg)






































