Sindiket gagal seludup bunga ganja RM10 juta

6 hours ago 3

KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan sindiket untuk menyeludup bunga ganja seberat lebih 102.1 kilogram (kg) yang bernilai RM10 juta menerusi tiga rampasan berasingan di Rantau Panjang dekat sini, tiga bulan lalu.

Rampasan dijalankan oleh Pasukan Operasi JKDM Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang bermula pukul 10.30 pagi pada 23 April lalu itu turut menahan tiga suspek termasuk dua wanita.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya mendapati tiga buah bagasi ditinggalkan di Pintu 1, Zon Bebas di sini.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap beg itu menjumpai sebanyak 88 peket plastik lutsinar yang disyaki bunga ganja.

“Pada masa yang sama, pemeriksaan terhadap seorang wanita yang membonceng motosikal bersama beg dibawanya di kawasan tersebut turut menemukan sebanyak 32 paket plastik lutsinar berisi dadah sama.

“Hasil siasatan terhadap wanita itu, anggota bertugas kemudian menjalankan serbuan di hentian bas ekspres Rantau Panjang pada pukul 11 pagi sebelum menahan dua suspek termasuk seorang wanita,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, anggota bertugas turut merampas dua buah beg yang berisi 60 peket plastik berisi dadah jenis bunga ganja bersama kedua-dua suspek.

Menurutnya, keenam-enam buah beg yang dirampas itu berisi 180 peket plastik bunga ganja seberat lebih 102.1 kg yang dianggarkan bernilai lebih RM10 juta.

“Siasatan lanjut mendapati, sindiket itu menyeludup bunga ganja melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok melalui Zon Bebas di sini,” ujarnya.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek dan kesemua beg yang berisi dadah jenis bunga ganja itu dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Rantau Panjang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |