Simpati tolak tepi, curi rantai emas dulu

18 hours ago 8

PETALING JAYA – Simpati terhadap mangsa bencana seolah-olah hilang apabila beberapa individu didakwa mengambil barang kemas milik seorang wanita yang dipercayai terkorban dalam kejadian bencana banjir di Nepal.

Perbuatan itu tular selepas sebuah video yang dimuat naik pengguna Threads, @Nyarikisport memaparkan beberapa individu berada di kawasan dipenuhi lumpur, kayu dan timbunan serpihan dibawa arus deras banjir kilat.

Rakaman tersebut menunjukkan dua lelaki menggunakan sebatang buluh ketika menghampiri mayat wanita itu sebelum seorang daripada mereka dilihat memegang kepala mangsa.

Lebih mengejutkan, tindakan itu didakwa bukan untuk mengeluarkan mayat tersebut, sebaliknya mereka dipercayai cuba mendapatkan barang kemas yang dipakai mangsa.

“Banjir di Nepal meragut banyak nyawa, tetapi apa yang mengejutkan saya adalah ada penduduk yang mencari emas daripada mangsa yang terkorban. Ke mana hilangnya nilai kemanusiaan?” soalnya.

Video tersebut mengundang kemarahan pengguna media sosial yang menyifatkan perbuatan mengambil barang berharga mangsa bencana sebagai tidak berperikemanusiaan.

Seorang pengguna, @Iamnobody0017 mendakwa, individu terbabit menarik rambut mangsa semata-mata untuk mendapatkan barang kemas yang dipakainya.

“Dia menarik rambut mangsa supaya dapat mengambil anting-anting, bukannya untuk mengeluarkan wanita malang itu dari kawasan tersebut. Perbuatan ini benar-benar mengganggu dan menyedihkan,” katanya.

Sementara itu, @Ann_anya21 pula menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berhati perut kerana mangsa yang sudah meninggal dunia sepatutnya diberikan penghormatan sewajarnya.

“Mereka mencuri anting-anting daripada mayat wanita yang berada di kawasan banjir di Nepal. Pada mulanya saya menyangka mereka mahu selamatkan mangsa, tetapi sebaliknya mengambil barangnya. Tidakkah mereka mempunyai sifat kemanusiaan?” katanya.

Dalam pada itu, @Estellejournal berkata, barang kemas atau barangan yang masih berada pada tubuh mangsa boleh membantu proses pengecaman sekiranya identiti tidak dapat dikenal pasti.

“Apa yang masih berada pada tubuh mangsa boleh menjadi antara petunjuk untuk mengenal pasti identiti sekiranya mayat sukar dicam. Perbuatan mengambil barang juga seolah-olah merampas hak keluarga mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |