KOTA BHARU – Siasatan rapi dan menyeluruh perlu dijalankan terhadap kes melibatkan pertemuan kumpulan songsang di sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini pada pertengahan bulan lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah itu bertujuan menggelakkan salah faham, fitnah atau hukuman masyarakat sebelum kebenaran ditentukan.
Menurutnya, jika terbukti siasatan dan tindakan pihak polis berasas dan benar, kerajaan negeri Kelantan minta supaya tindakan tegas diambil kepada pihak yang terlibat.
“Polemik itu berlaku selepas beberapa pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tertentu menafikan wujudnya pesta seperti yang didakwa itu melalui pendedahan yang dibuat oleh polis.
“Sebaliknya, jika dakwaan NGO dan individu terbabit itu benar, tindakan untuk memperbetulkan keadaan perlu diambil. Prinsip keadilan mesti ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, NGO itu menegaskan bahawa tiada yang terlibat menawarkan atau terlibat dalam perkhidmatan seksual semasa acara tersebut.
Menurutnya, apabila timbul polemik itu, diharapkan semua pihak berlapang dada dan kebenaran perlu diutamakan selain semua pihak perlu diberikan hak untuk mendapat keadilan secara berhikmah.
“Juateru, kerajaan ingin menekankan bahawa pihak yang bercadang untuk menganjurkan program, khususnya yang berpotensi mengundang kontroversi atau kekeliruan, wajib mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
“Kegagalan mematuhi garis panduan dan prosedur boleh mencetuskan kesan yang tidak diingini selain mencemarkan keharmonian negeri. Ketelusan fakta amat penting untuk mengelakkan masyarakat daripada bersangka buruk dan menghukum tanpa asas,” ujarnya.
Beliau berkata, sekiranya benar seperti yang dilaporkan bahawa para peserta program tersebut datang dari luar Kelantan dan tidak melibatkan rakyat negeri ini, maka maklumat itu juga perlu diperjelaskan secara terbuka agar rakyat negeri ini yang tidak berdosa tidak menjadi mangsa tuduhan atau cercaan.
Media semalam melaporkan, Majlis AIDS Malaysia (MAC) menjelaskan pihaknya mengadakan sesi outrech bagi mendekati komuniti berisiko tinggi sebagai pencegahan ubat virus kurang imun (HIV) di sini pada 17 Jun lalu sebelum diserbu pihak polis.
Majlis yang berlangsung pada pukul 8 malam sehingga 2 pagi itu adalah pendekatan strategik yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perkhidmatan HIV lebih berkenaan, inklusif dan berpaksikan kepada komuniti.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, menegaskan serbuan polis terhadap perjumpaan golongan sejenis di sebuah rumah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini dijalankan selepas pihaknya mempunyai bukti yang kukuh.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan polis selain turut mendapat aduan daripada pihak tertentu mengenai aktiviti kumpulan itu. – KOSMO! ONLINE