PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli teruja apabila dibantu mekanik Malaysia, Muhammad Firdaus Mokhadzir ketika membuat penampilan bersama MT Helmets-MSI dalam Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve hari ini.
Danish yang menggantikan tempat Ryusei Yamanaka, mencuri tumpuan apabila menempatkan diri dalam kelompok 12 pelumba terpantas ke sesi Kelayakan Dua (Q2) kelas Moto3 kelmarin.
Anak kelahiran Terengganu itu mengakui kehadiran Firdaus sebagai mekanik membantunya menyesuaikan diri dengan jentera baharu selain meningkatkan keyakinannya di atas litar.
“Komunikasi kami sangat baik sebab saya dah biasa bekerja dengan pasukan ini di Kejohanan Dunia JuniorGP. Mekanik ‘Abang Daus’ saya kenal, jadi semangat saya pun lain,” katanya.
Firdaus bukan nama asing dalam dunia permotoran negara apabila memulakan kerjaya di bawah ZK Racing pada 2018 sebagai pembantu mekanik sebelum diberi peluang menimba pengalaman di Eropah menerusi CEV Repsol bersama pasukan SIC Junior Team.
Pada 2023, Firdaus diberi tanggungjawab penuh sebagai mekanik utama MT Helmets-MSI di Moto3 bersama pelumba negara, Syarifuddin Azman melibatkan 21 pusingan di seluruh dunia.
Dalam masa sama, Danish turut menjelaskan dia berdepan masalah pada sesi latihan pertama (FP1) sebelum pasukan melakukan pelarasan semula terhadap jentera.
“Selepas ubah suai beberapa bahagian, saya rasa perbezaan ketara, boleh masuk selekoh lebih laju dan buka minyak lebih awal. Jadi saya gembira dapat terus ke Q2,” katanya.
Danish mencatat masa satu minit 47.899 saat (s), hanya 0.843s di belakang pelumba Sepanyol, David Almansa yang muncul pelumba terpantas dengan catatan 1:47.056s.
Ia jelas menunjukkan pelumba berusia 18 tahun itu semakin serasi dengan karakter jentera serta Litar Algarve yang terkenal dengan laluan berbukit serta selekoh teknikal. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1










![[VIDEO] PDRM setaraf negara maju boleh jejak ‘ds account’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/media-sosial-gambar-hiasan.jpeg)






































