Sektor pembinaan tidak dikenakan penalti SST sehingga 31 Disember 2025

7 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Tiada tindakan pendakwaan atau penalti akan dikenakan terhadap sektor pembinaan yang masih belum mematuhi pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 31 Disember 2025.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah tersebut bagi memberi ruang dan peluang kepada semua pihak untuk bersedia terhadap pelaksanaan SST secara holistik.

“Kerajaan komited untuk tidak mengambil tindakan pendakwaan atau penalti sehingga 31 Disember 2025,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ir. Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjong Manis) berhubung kategori projek pembinaan dikecualikan SST dan apakah langkah kementerian dalam memastikan projek- projek sedia ada tidak terkesan.

Terdahulu, Ahmad berkata, kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk memperincikan dan memastikan pengecualian tertentu diberikan kepada kategori projek yang layak.

Kata beliau, antara diberikan pengecualian adalah bahan-bahan binaan asas seperti simen, agregat (kerikil) dan pasir yang kini kekal berkadar sifar di bawah cukai jualan bagi menyokong keperluan industri pembinaan.

“Pengecualian ke atas perkhidmatan kerja pembinaan bagi bangunan kediaman dan kemudahan awam berkaitan rumah ibadah, tandas awam dan taman rekreasi.

“Aktiviti Perniagaan kepada Perniagaan (B2B) terpilih, tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat tertentu yang mana kontraktor utama dikenakan tetapi tidak kepada sub kontraktor,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, syarikat dan kontraktor yang menjalankan kontrak tanpa peluang untuk dikaji semula akan diberikan pengecualian daripada pembayaran cukai perkhidmatan selama satu tahun dari tarikh kuat kuasa, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Jelas beliau, galakan itu sebahagian daripada langkah kerajaan dalam memastikan industri pembinaan mempunyai masa yang mencukupi untuk menyesuaikan sistem, memperkemas proses pendaftaran dan mendapatkan penjelasan tepat mengenai pelaksanaan SST.

“Kerajaan faham akan pentingnya memastikan sektor pembinaan tidak terjejas secara negatif dengan pelaksanaan SST,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |