Sayuti sedia kemudi skuad Sukan SEA

1 month ago 25

PENGARAH Sukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Sayuti Zahit menyatakan kesediaannya untuk mempertimbangkan jawatan ketua jurulatih skuad lebuh raya ke Sukan SEA Thailand 2025.

Bagaimanapun, perkara itu akan berlaku sekiranya segala permintaan yang dikemukakan oleh pasukan berbasikal profesional itu dan Terengganu Cycling Team (TSG) dipersetujui.

Pendirian itu disuarakannya selepas pertemuan empat penjuru membabitkan kedua-dua pasukan, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi merungkai kemelut yang melanda persiapan ke temasya dwitahunan itu.

Menurutnya, sekiranya dia menerima tawaran tanpa hala tuju atau bajet yang tidak memadai, ia akan mensia-siakan masa serta komitmen semua pihak dalam misi memburu pingat emas.

“Saya sedia mempertimbangkan (jawatan ketua jurulatih), tetapi ia bergantung kepada ‘term and conditions’. Kalau tidak ditepati, kita tidak akan teruskan.

“Keputusan rasmi akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi selepas kami dan TSG menghantar bajet secara terperinci kepada PKBM sebelum dipersembahkan kepada MSN.

Kemelut tercetus apabila dua pasukan profesional negara itu sebelum ini memberi bayangan akan menarik diri daripada Sukan SEA sekiranya permohonan bajet tambahan berjumlah RM250,000 tidak diluluskan.

Dana tersebut dianggap kritikal bagi menampung kos persiapan rapi termasuk latihan pusat, penyertaan perlumbaan, pendedahan dan penyelenggaraan peralatan.

Tambah Sayuti, permintaan ita adalah munasabah, bukan untuk meminta ‘bulan dan bintang’ kerana merangkumi keperluan asas seperti elaun pelumba dan gantian komponen basikal yang sudah usang.

“Presiden (PKBM) sendiri menyatakan permintaan kami munasabah. Jadi, kita tengok dulu apa tawaran yang diletakkan di atas meja dan selepas itu baru kita putuskan,” katanya.

Salah satu tuntutan utama adalah perolehan basikal ujian masa baharu memandangkan jentera sedia ada merupakan model tahun 2019 yang sudah ketinggalan dari segi teknologi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |