PETALING JAYA – Sapura Energy Berhad (SEB) dan anak-anak syarikatnya telah memenangi dua kontrak daripada pelanggan jangka panjangnya di Thailand, dengan nilai gabungan melebihi RM500 juta.
Kontrak-kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh, Sapura Energy (Thailand) Limited (SETH), bagi kempen pemasangan dan penanggalan, perkhidmatan pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan bawah laut (IRM).
Kontrak pemasangan dan penanggalan tersebut, yang dianugerahkan oleh Chevron Thailand Exploration and Production Ltd. dan Chevron Offshore (Thailand) Ltd. itu dijangka siap menjelang akhir tahun kalendar 2026.
Kempen pemasangan dan penanggalan luar pesisir ini akan dilaksanakan oleh pasukan Kejuruteraan & Pembinaan (E&C) Kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Muhammad Zamri Jusoh berkata, syarikat telah membina rekod prestasi dalam melaksanakan projek nyahpengepaman (decommissioning) di Thailand, bermula dengan kempen Rig-to-Reef pada tahun 2020.
Sejak itu, pasukan SEB telah menunjukkan prestasi konsisten dalam penyampaian projek, termasuk mencatatkan 1.5 juta jam kerja tanpa sebarang kecederaan yang menyebabkan kehilangan masa kerja dalam kempen penanggalan saluran paip baru-baru ini.
Ia juga menjadi yang pertama di Asia melaksanakan kaedah reverse S-lay dalam nyahpengepaman saluran paip.
“Anugerah ini memperkukuhkan lagi kerjasama jangka panjang SEB dengan pelanggan di Thailand, berdasarkan rekod prestasi kukuh Kumpulan dalam kempen luar pesisir seumpamanya di negara tersebut.
“Ia juga menunjukkan strategi kami dalam membida projek yang selari dengan selera risiko Kumpulan, keupayaan teras dan kecekapan penggunaan kapal,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Sementara itu, pesanan perkhidmatan bagi perkhidmatan IRM bawah laut Kumpulan telah dianugerahkan oleh PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP).
Skop kerja merangkumi operasi selaman tepu bagi kemudahan dalam projek G1/61 dan G2/61.
Operasi-operasi ini akan dilaksanakan oleh segmen Perniagaan Operasi & Penyelenggaraan (O&M) Kumpulan, menggunakan kapal pembinaan bawah laut Sapura Constructor milik SEB yang dilengkapi dengan kemudahan penginapan untuk 120 orang serta sokongan selaman untuk sehingga 15 penyelam.
Kerja-kerja IRM bawah laut ini telah dimulakan pada suku kedua tahun kalendar 2025. SEB kini juga sedang melaksanakan kerja-kerja IRM bawah laut untuk PTTEP di Malaysia. -KOSMO! ONLINE