PETALING JAYA – “Rumah saya tak pernah sunyi kerana Zafri sentiasa riuh dan suka membuat bunyi… tetapi kini semuanya berubah.”
Itu luahan hiba Nur Izati Mohd Hairi, 34, ibu kepada Allahyarham Muhammad Zafri Aman Shaiful, 11, murid Program Pendidikan Khas Integrasi yang meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa dipercayai akibat lemas ketika aktiviti kolam renang di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, di sini.
Menurut Nur Izati, Zafri yang disifatkan seorang anak autistik yang aktif, penyayang serta abang yang sangat prihatin terhadap adik kembarnya, Muhammad Zakir, mula menunjukkan perubahan luar biasa sebelum kejadian.
“Zafri boleh bercakap cuma agak pelat, manakala Zakir pertuturannya kurang jelas. Mereka sangat rapat dan walaupun berbeza kelas, Zafri selalu tunggu Zakir untuk makan bersama dan berpegangan tangan setiap kali ke sekolah.
“Tapi pada hari kejadian, dia mandi awal sekitar 6.40 pagi, tidak seperti biasa. Ketika ke sekolah, dia juga tidak pimpin tangan adiknya dan berjalan perlahan seperti selalu,” katanya kepada Kosmo!, hari ini.
Nur Izati berkata, minggu lalu anaknya sempat memberitahu bahawa dia tidak perlu lagi ke sekolah selepas ini ketika dikejutkan daripada tidur. Malah malam sebelum kejadian, arwah begitu teruja menantikan aktiviti kolam renang.
“Zafri memang berani air dan sangat suka aktiviti air, berbanding Zakir. Tapi siapa sangka itu kali terakhir,” katanya.
Katanya, pada pukul 10.38 pagi, dia menerima panggilan daripada guru sambil menangis dan menyebut nama Zafri, meminta segera ke kolam renang.
“Saya bergegas ke sana dan melihat anak sudah kaku, tidak sedarkan diri, badannya membiru. Jurulatih sudah beri bantuan pernafasan tetapi nadinya tiada. Hati saya luluh,” katanya.
Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital, pasukan perubatan berjaya memulihkan semula degupan jantung Zafri sebelum diberikan rawatan rapi. Namun keadaan anaknya semakin kritikal.
“Dia tidak boleh menerima susu melalui tiub, otaknya tidak beri maklum balas dan membengkak. Keadaannya hanya bergantung pada mesin. Kami sedih tetapi tidak sanggup melihat dia terseksa… itu yang saya dan suami setuju hentikan bantuan pernafasan,” katanya.
Arwah yang juga anak kedua daripada lima beradik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As Shuhadah, Sungai Udang, Melaka.
Nur Izati berkata, dia tidak menyalahkan mana-mana guru dalam insiden berkenaan.
“Saya tidak salahkan cikgu kerana mereka menjaga anak-anak saya dengan baik. Zafri selalu tidak sabar ke sekolah untuk jumpa cikgu, siap ada cikgu yang dia anggap kawan baik. Guru-guru juga sangat baik dengan kami,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua anak kembar itu didiagnosis autisme sejak usia setahun dan telah mengikuti aktiviti renang berkenaan sejak Tahun Tiga tanpa sebarang masalah sebelum ini.
Nur Izati berkata, keluarganya sepatutnya berpindah ke rumah sendiri di Melaka tahun depan selepas suaminya, Aman Shaiful Yatin, 39, bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4



















![[VIDEO] Migran hanyut diselamatkan kapal dagang, kapal layar dan bot nelayan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/migran-bot-karam.jpeg)





























