Rafizi kini buka kedai serbaneka

5 days ago 14

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, menarik perhatian ramai apabila tampil dengan langkah baharu dalam dunia perniagaan apabila membuka kedai serbaneka miliknya dikenali sebagai Flexi Mart.

Kedai serbaneka yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam itu menumpukan pelbagai barangan runcit dan makanan siap dengan harga mampu milik di bawah RM5.

Menerusi hantaran Rafizi di media sosial, kedai tersebut yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Ayuh Malaysia mula dilancarkan dan dibuka kepada orang ramai hari ini.
“Sasaran kami mudah, setiap keluarga patut ada pilihan yang lebih adik untuk keluarga mereka,” katanya.

Sebelum ini Rafizi memaklumkan perniagaannya itu menggunakan konsep perusahaan sosial, iaitu perkongsian di antara penyumbang modal dan pekerja.

Jelas bekas Menteri Ekonomi itu, keuntungan akan dikongsi bersama di antara penyumbang modal, pekerja dan orang ramai.

“Lebih untung, lebih tinggi gaji pekerja dan keuntungan itu disumbangkan balik supaya harga dapat dikekalkan rendah.

“Saya tidak tahu sama ada model yang julung kalinya dibuat untuk kedai-kedai ini akan berjaya. Niat saya ialah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda dan membantu orang ramai dengan menawarkan makanan dan barangan pada harga yang lebih murah,” katanya.

Tambah Rafizi lagi, jika eksperimen sosial ini berjaya, beliau akan mengembangkannya kepada lebih banyak cawangan.

Antara juadah yang dijual di Flexi Mart pada harga RM5 ke bawah adalah nasi lemak ayam, nasi minyak ayam, mee goreng, nasi ayam berempah dan lempeng kari ayam.

Selain itu makanan siap yang boleh dibeli dari Flexivending yang juga harga di bawah RM5 adalah nasi lemak, chicken wrap, ayam korea dan pelbagai lagi.

Selain Flexi Mart, Rafizi juga akan membuka sebuah lagi kedai makan iaitu Kesum memfokuskan penjualan makanan sarapan, tengahari dan malam pada harga di bawah RM5 yang akan dilancarkan pada 8 November ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |