PETALING JAYA – Purata harga rumah di negara ini adalah RM486,070 seunit pada suku pertama (S1) 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 0.9 peratus, menurut Laporan Pasaran Harta Tanah Suku Pertama Tahun 2025 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak berkata, semua negeri menyaksikan pertumbuhan positif yang sederhana antara 0.3 peratus hingga 6.9 peratus, kecuali Sabah dan Sarawak yang kekal stabil, manakala Kuala Lumpur menguncup 2.4 peratus.
“Indeks harga rumah teres kekal stabil dengan pertumbuhan positif 2.2 peratus, manakala jenis rumah lain merekod penurunan kecil,” katanya ketika membentangkan laporan tersebut di media sosial hari ini.

Aktiviti pembinaan bagi harta tanah kediaman pada S12025 merekodkan pertumbuhan yang signifikan apabila bilangan unit siap dibina meningkat 30.2 peratus kepada 9,329 unit (S1 2024: 7,168 unit), manakala unit mula dibina menokok 32.5 peratus kepada 28,344 unit (S1 2024: 21,391 unit).
Kenaikan yang memberangsangkan itu menunjukkan trajektori pembangunan sektor kediaman semakin mengukuh.
Walau bagaimanapun, prestasi transaksi harta tanah mengalami penurunan marginal dengan bilangan dan nilai transaksi menurun 6.2 peratus dan 8.9 peratus kepada 97,772 transaksi bernilai RM51.42 bilion, berbanding 104,194 transaksi bernilai RM56.47 bilion pada tempoh yang sama tahun 2024.
Abdul Razak menambah, walaupun transaksi harta tanah bermula perlahan, kerancakan aktiviti pembinaan serta pertambahan pelancaran baharu kediaman mengimbangi pertumbuhan pasaran harta tanah bagi meneruskan momentum yang positif pada tahun 2025.
“Sokongan berterusan kerajaan melalui Program Residensi Rakyat (PRR), Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan pembangunan infrastruktur yang strategik menjadi pemangkin kerancakan aktiviti pembinaan.
“Inisiatif kerajaan ke atas prospek pelaburan global iaitu Zon Kewangan Khas Forest City, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan pelaksanaan zon bebas cukai di Pulau Satu, Forest City mula menampakkan impak yang ketara.
“Pasaran pangsapuri khidmat di Johor Bahru yang siap dibina tidak terjual (overhang) memperlihatkan impak positif apabila bilangannya menurun 5.6 peratus pada S12025 berbanding S1 2024,” ulas beliau. – KOSMO! ONLINE