Premis edar daging babi diserbu, 6 warga Nepal ditahan

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Kegiatan sebuah premis pengedaran daging di kawasan perindustrian di Skudai, Johor terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa dalam Op Taring Chiller, hari ini.

Serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu dijalankan sepasukan anggota Cawangan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama pegawai Jabatan Veterinar Putrajaya dan Johor.

Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi diketuai Asisten Superitendan Mohd Zamri itu berjaya menahan enam lelaki warga Nepal serta seorang wanita tempatan yang juga pemilik premis.

“Enam lelaki warga asing itu ditahan kerana disyaki menyalahgunakan atau melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Turut ditahan seorang wanita tempatan kerana dipercayai menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di dalam premis turut menemui sejumlah karkas daging babi sejuk beku yang diragui status penyembelihannya.

“Pemeriksaan mendapati karkas tersebut mempunyai dokumen penyembelihan yang meragukan dan disyaki tidak disembelih di rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan Jabatan Veterinar.

“Perkara ini merupakan kesalahan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009,” ujarnya.

Katanya, sebanyak 22 karkas daging babi dengan anggaran berat 1,058.1 kilogram telah dirampas dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM63,486.

Tambah beliau, semua tangkapan berkaitan kes imigresen telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

“Manakala kesalahan berkaitan veterinar akan diambil tindakan oleh Jabatan Veterinar mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |