Piala FA: JDT hanya raih bekalan tipis

4 hours ago 4

KUCHING – Juara bertahan Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya mampu membawa bekalan tipis apabila hanya menang 2-1 ke atas Kuching City pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Seperti empat pertemuan sebelum ini, tuan rumah nyata mampu menghadirkan tentangan buat Harimau Selatan dan kali ini The Cats sememangnya layak diberikan pujian kerana tidak pernah menunjukkan sikap berputus asa.

Dalam perlawanan ini, kedua-dua penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (JDT) dan Muhammad Haziq Nadzli (Kuching City) menjadi pemain paling menyerlah, kedua-duanya beraksi baik dengan menyelamatkan beberapa peluang terbaik.

Seperti dijangka, JDT memulakan perlawanan dengan agresif tetapi Muhammad Haziq nyata lebih bersedia untuk menyekat serangan lawan hingga beberapa kali menghadirkan kekecewaan buat jentera serangan Harimau Selatan yang diketuai oleh Bergson da Silva.

Kuching City yang dilihat sering kehilangan bola di kawasan sendiri tetap mampu mencetuskan masalah buat benteng pelawat khususnya menerusi gerakan serangan balas.

Minit ke-35, Harimau Selatan berjaya membuka jaringan menerusi sentuhan Bergson manakala Kuching City terus dipalit kecewa apabila lencongan Ahmad Danial Asri sekadar singgah di tiang gol JDT.

Lima minit selepas aksi bersambung, JDT makin selesa apabila Bergson meledak gol kedua namun ia langsung tidak beri kesan besar buat tuan rumah yang kekal berusaha mencari jaringan pertama.

Minit ke-69, usaha bertali arus Kuching City membuahkan hasil, menyaksikan bintang importnya, Petrus Shitembi merobek gawang lawan sekali gus menjadikan perlawanan makin menarik.

Selepas itu, aksi bertenaga terus dipamerkan oleh Kuching City namun tiada tambahan jaringan mampu dihasilkan sekali gus menjanjikan cabaran lebih sukar menjelang perlawanan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, 30 November ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |