Pesakit kanser tahap 4 menangis terima anugerah UUM

2 hours ago 2

SINTOK – Seorang graduan yang disahkan menghidap kanser darah tahap empat mengalirkan air mata kegembiraan apabila menerima Anugerah Emas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pada konvokesyennya hari ini.

Graduan terbabit, Nor Shamira Irwani Farid, 24, dari Nilai, Negeri Sembilan memberitahu, dia tidak menyangka berpeluang hadir ke majlis tersebut kerana terpaksa menjalani rawatan kemoterapi setelah didiagnos penyakit itu.

“Saya sudah menjalani dua pusingan kemoterapi yang kuat dan menyangka tidak dapat hadir ke majlis konvokesyen ini. Namun pada Isnin yang lepas doktor memberitahu saya boleh datang kerana rawatan itu menunjukkan kesan positif dan benjolan pada bahu saya semakin kecil.
“Alhamdulillah, saya dapat juga ke konvokesyen hari ini dan menerima anugerah ini dan ijazah saya pada sesi lapan ini,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM di Sintok hari ini.

Menurutnya, dia didiagnosis pada 19 Ogos dan didapati menghidap kanser itu atau nama saintifiknya limfoma Hodgkin setelah mendapati benjolan pada bahunya semakin membesar.

“Sebulan kemudian, pada 17 September lalu, saya disahkan berada di tahap empat. Pada mulanya, saya perasan ada sebiji ketulan kecil di leher kanan sejak 2022. Tapi disebabkan kekangan masa, saya biarkan sehingga awal tahun ini ketulan itu semakin besar dan banyak.

“Sepanjang praktikum selama empat bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), saya kerap berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan. Saya bersyukur kerana aturan Allah SWT itu terbaik kerana saya menyempurnakan pengajian saya termasuk tesis dan praktikum dahulu,” kata graduan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu hari ini menerima anugerah kecemerlangannya itu daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Canselor UUM pada majlis tersebut.  – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |