Perdaya keluarga angkat selepas dapat kewarganegaraan

1 week ago 15

KUALA LUMPUR – Niat seorang lelaki membantu wanita muda tanpa keluarga dan kad pengenalan akhirnya memakan diri apabila dia sekeluarga kini menjadi mangsa penipuan serta ugutan daripada pemberi pinjaman wang.

Wong Fook Ming, 55, seorang mekanik dari Cheras, mendedahkan bahawa anak angkatnya, Lee Je Nnie, 27, bukan sahaja memperdaya kepercayaannya, malah meninggalkan beban hutang berjumlah RM20,000 yang kini ditanggung keluarganya.

Menurut Wong, dia mengenali wanita itu sembilan tahun lalu ketika berusia sekitar 18 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Rasa simpati membuatkan dia mengambil keputusan untuk mengambilnya sebagai anak angkat menerusi proses undang-undang yang sah.

“Dia cakap tak ada keluarga dan perlukan bantuan. Saya kasihan dan bantu uruskan hal pengambilan anak angkat. Tapi selepas dapat kad pengenalan, perangainya berubah dan mula buat hal pelik-pelik,” katanya pada sidang akhbar anjuran Ketua Unit Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong Ten Soo, hari ini.

Katanya, selepas mendapat kad pengenalan dalam tempoh lima tahun, Je Nnie kemudian memujuknya menjadi penjamin bagi pinjaman peribadi sekitar September lalu, namun dia menolak.

“Tak lama lepas itu, saya mula dapat panggilan daripada 12 pemberi pinjaman wang yang menuntut hutang RM20,000. Ada juga yang ugut keluarga saya.

Rupa-rupanya dia (Je Nnie) telah serahkan butiran peribadi kami kepada syarikat peminjam wang untuk dijadikan sebagai penjamin. Saya benar-benar tak tahu apa dia dah buat,” jelasnya.

Tambahnya lagi, bukan sahaja dia yang diganggu, malah adik iparnya, Ng Chong Wah, 45, turut menjadi mangsa apabila butiran peribadinya disebarkan di media sosial dengan tuduhan palsu kononnya sebagai ‘scammer’.

Akibat tidak tahan diganggu, Wong membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah pada 16 Oktober lalu bagi melindungi keluarganya serta memohon supaya nama mereka dibersihkan.

“Sekarang saya hanya mahu putuskan hubungan dengan dia. Kami tak sanggup lagi ditipu dan dibebankan dengan hutang yang bukan kami buat,” katanya.

Sementara itu, Michael Chong berkata wanita tersebut berjaya mendapat kad pengenalan dan taraf warganegara dalam tempoh lima tahun sahaja dan menganggap, ia aneh memandangkan ramai yang masih belum dapat kerakyatan walaupun sudah tinggal di Malaysia selama puluhan tahun.

“Ada yang 30 tahun saya tinggal di Malaysia, tetapi masih belum dapat kerakyatan. Saya tidak pernah dengar ada kes yang boleh dapat MyKad dan kewarganegaraan secepat itu. Selalunya ambil masa lama, tapi dia boleh dapat dalam lima tahun saja,” katanya

Menurutnya lagi, setakat Oktober lalu, pihaknya telah menerima 337 kes penipuan dengan nilai keseluruhan RM3.3 bilion, termasuk 36 kes melibatkan pinjaman wang tidak berlesen dan kebanyakan daripadanya melibatkan masyarakat Cina.

Michael Chong menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membantu individu tanpa latar belakang jelas terutama dalam hal berkaitan dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |