Perak alu-alukan pelabur dari Asia Timur

10 hours ago 6

IPOH – Kerajaan negeri mengalu-alukan kemasukan pelabur asing khususnya dari Asia Timur untuk meneroka peluang pelaburan di negeri ini susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pergolakan geopolitik di Asia Barat itu dilihat mampu menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai pelabur dari rantau Asia Timur seperti Korea Selatan, Jepun dan China ke Malaysia, khususnya ke Perak.

Beliau berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuannya bersama Duta Korea Selatan yang mengadakan kunjungan ke negeri ini beberapa hari lalu.

“Saya dimaklumkan, apabila berlaku pergolakan di Asia Barat, ramai pelabur sebenarnya dari negara di sebelah timur.

“Jadi, mengapa tidak kita menarik pelabur dari Korea Selatan, Jepun dan China untuk datang melabur di Malaysia khususnya di Perak. Tambahan pula mereka tidak perlu melalui laluan strategik seperti Selat Hormuz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-13 dan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemain industri dan usahawan tempatan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan global, namun tidak melihat situasi tersebut sebagai halangan untuk terus berkembang.

Saarani berkata, keadaan semasa perlu dimanfaatkan sebagai peluang untuk meneroka bidang perniagaan baharu yang lebih sesuai dan selamat, selain membuka ruang kerjasama dengan pelabur dari negara berhampiran.

“Saya melihat perkara ini dari sudut positif. Sebagai contoh, ekonomi digital mula berkembang ketika Covid-19. Apabila orang ramai tidak dapat beroperasi seperti biasa, penjual nasi lemak mula berniaga menggunakan WhatsApp.

“Cabaran ini menjadikan orang ramai menjadi lebih kreatif dengan menjalankan perniagaan secara dalam talian. Minda seperti ini perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |