KOTA BHARU – Taktik sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah yang berselindung di sebalik pekerjaan sebagai pemandu e-hailing dan peniaga ayam terbongkar selepas mereka ditahan di jalan Pauh Sembilan, Kuala Krai dekat sini kelmarin.
Pasangan berusia 31 dan 49 tahun itu dicekup oleh anggota kereta peronda polis (MPV) kira-kira pukul 4 pagi selepas dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, polis menjumpai 67.75 kilogram (kg) dadah jenis ganja selepas memeriksa kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Proton S70 yang dinaiki oleh kedua-dua suspek.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas SUV turut membawa kepada penemuan 150 biji pil kuda dan sebilah kerambit.
“Susulan penahanan pasangan itu, polis telah menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Selising, Pasir Puteh pada pukul 3.30 petang pada hari yang sama.
“Selain itu, polis turut menjumpai dadah jenis ganja hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah SUV jenis Nissan X-Trail. Jumlah keseluruhan ganja yang ditemukan di rumah itu dianggarkan seberat 22.16 kg,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan awal mendapati, suami kepada wanita berkenaan bekerja sebagai pemandu e-hailing sementara wanita berkenaan berniaga ayam segar di Selising.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan pasangan suami isteri itu sudah dalam aktif dalam pengedaran dadah dan siasatan lanjut akan terus dijalankan.
“Semua dadah ini dipercayai dibawa masuk dari Thailand dan negara ini dijadikan sebagai transit sementara sebelum dibawa keluar.
“Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,242 dan barangan kemas milik suspek. Semakan mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkait kes dadah,”ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 11 Julai lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957. – KOSMO! ONLINE