Pelantikan Ketua Hakim Negara tamatkan fitnah, tohmahan – Anwar

5 hours ago 3

PUTRAJAYA – Pengumuman nama Ketua Hakim Negara dan hakim atasan lain telah memadamkan polemik, keluh kesah, fitnah dan tohmahan yang dihadapi kerajaan sejak bermingu-minggu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang mesyuarat Majlis Raja-Raja itu sendiri membuktikan proses pelantikan hakim atasan itu berjalan dengan baik dan berlandaskan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Saya cuma nak tekankan bahawa budaya fitnah ini harus dihentikan kerana ia tidak merujuk kepada fakta.

“Keputusan (pelantikan hakim atasan) yang diambil sentiasa mengambil kira kedudukan badan kehakiman sebagai salah satu tonggak utama negara yang berdaulat, merdeka serta mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Katanya, beliau juga mempersoalkan siapa sebenarnya yang merosakkan krisis badan kehakiman kerana beliau sendiri tidak pernah membuang mana-mana hakim dan tidak menghantar hakim ke tribunal.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, nama Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh (Hakim Mahkamah Persekutuan) tidak pernah dicalonkan sebagai Ketua Hakim Negara.

“Ya ada kononnya nama-nama yang ditonjolkan (nama yang dicalonkan Ketua Hakim Negara), saya boleh sebutlah Tan Sri Teri (Ahmad Terriruddin) yang juga bekas Peguam Negara. Tetapi kerana beliau punya banyak tahun lagi, nama beliau tidak pernah pun diusulkan. Jadi dari mana sebaran itu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diatas pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara serta beberapa hakim atasan lain.

“Tahniah kepada Ketua Hakim Negara yang baharu dan juga Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi. Ini satu mandat dan insya-Allah mereka dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |