Pegawai syarikat cuti bersalin punca lewat proses pensijilan halal – Jakim

1 month ago 26

PETALING JAYA – Kelewatan syarikat yang dianugerahkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta oleh Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) mendapatkan pensijilan halal disebabkan pegawai bertanggungjawab (PIC) bagi tujuan itu sedang bercuti bersalin.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, PIC yang dimaksudkan bukan daripada pihak Jakim, sebaliknya PIC daripada pihak syarikat yang terlibat dalam proses pensijilan halal.

“PIC sedia ada di pihak syarikat pada ketika itu sedang bercuti bersalin dan pihak syarikat telah mencalonkan seorang pengganti sebagai PIC baharu.

“HCTM turut memaklumkan, pegawai baharu dilantik ini memerlukan latihan terlebih dahulu bagi membolehkan beliau melaksanakan tugas Eksekutif Halal yang bertanggungjawab menguruskan permohonan pensijilan halal syarikat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan HCTM menganugerahkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta kepada syarikat dinamakan sebagai 0267299-T yang tidak mempunyai sijil halal daripada Jakim.

Laporan itu turut memaklumkan syarikat tersebut dianugerahkan kontrak bagi membekalkan makanan kepada pesakit hospital berkenaan selama tiga tahun bermula Februari 2024.

Sirajuddin berkata, Jakim namun telah memberikan penerangan menyeluruh kepada Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) berkenaan proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam satu pertemuan bagi memperkukuh kefahaman dan memastikan kredibiliti sijil halal sentiasa terpelihara.

Ujar beliau, Jakim sebagai badan berautoriti dalam pensijilan halal negara komited memastikan setiap aspek pengurusan SPHM dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan piawaian yang ditetapkan.

Jelas beliau, langkah itu sejajar dengan prinsip Tadbir Urus Baik dan Amanah dalam kerangka Malaysia Madani yang menekankan kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Tambah beliau, HCTM turut menyatakan komitmen berterusan dalam memastikan pematuhan terhadap semua keperluan dan prosedur pensijilan halal Malaysia sentiasa diperkukuh demi kemaslahatan ummah, selaras dengan nilai Kesejahteraan dan Ihsan yang menjadi teras kepada agenda Madani.

“Jakim juga sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan pensijilan halal Malaysia, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendidik, memudah cara dan memperkasa pematuhan halal di semua peringkat.

“Pendekatan inklusif ini turut mencerminkan prinsip keterbukaan yang menyokong aspirasi kerajaan dalam dalam membentuk masyarakat yang berpengetahuan, cakna dan bertanggungjawab,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |