KUALA LUMPUR – Misi Pearly Tan-M. Thinaah untuk mara ke final ketiga berturut-turut dalam Jelajah Dunia BWF terhenti di tangan beregu pilihan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam separuh akhir Terbuka China hari ini.
Pasangan No. 3 dunia itu gagal mengekalkan momentum yang ditampilkan di Terbuka Jepun minggu lalu apabila tumpas straight set 14-21, 17-21 kepada beregu China di ranking ketujuh dunia itu.
Kekalahan itu juga menyaksikan rekod pertemuan Pearly-Thinaah dengan Yi Fan-Shu Xian kini melebar kepada 1-4 memihak beregu tuan rumah.
“Ia perlawanan yang sukar sebab kami kena lawan arah angin dan cuba sesuaikan strategi mengikut kelajuan bulu tangkis. Set pertama berjalan lancar buat mereka, tapi pada set kedua kami cuba ubah strategi. Kami agak berjaya, tapi semuanya sudah terlambat,” kata Pearly.
Pearly mengakui kelewatan menyesuaikan pelan permainan menjadi antara punca kekalahan dan menegaskan mereka perlu lebih pantas membuat perubahan dalam selepas ini.
“Kami kena belajar daripada kesilapan ini dan cepat sesuaikan diri. Menang atau kalah, dua kejohanan ini beri kami banyak pengalaman berharga,” tambahnya.
Sementara itu, Thinaah turut menekankan kesan faktor angin mengganggu transisi daripada bertahan kepada menyerang, namun menolak untuk menjadikannya alasan.
“Arah angin memang mengelirukan, tapi kami tak boleh jadikan itu sebagai alasan. Ini antara perkara yang perlu kami pelajari dan bersedia lebih awal. Kami akan duduk berbincang dan cari strategi baharu untuk kejohanan seterusnya,” katanya.
Mengulas dua minggu kempen di Asia Timur yang menyaksikan mereka layak ke final di Jepun dan separuh akhir di China, Thinaah menyifatkannya sebagai pengalaman penting menjelang Kejohanan Dunia bulan depan.
“Banyak perkara positif. Macam Pearly cakap, masih banyak ruang untuk diperbaiki. Buat masa ini, kami akan rehat dulu sebelum bersedia untuk Kejohanan Dunia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE