Selain aktiviti island hopping, sukan air, kapal layar dan memancing rekreasi, kini muncul satu lagi satu konsep baharu yang semakin mendapat perhatian iaitu perkhidmatan sewa bot pandu sendiri.
Konsep ini bukanlah sesuatu yang asing di negara-negara luar seperti Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.
Namun di Malaysia, ia masih dianggap sebagai satu produk pelancongan yang mempunyai ruang besar untuk berkembang.
Dengan kemudahan moden serta peningkatan kesedaran terhadap aktiviti rekreasi laut, perkhidmatan ini dilihat mampu memberi pengalaman yang lebih eksklusif kepada pengunjung.
Tidak seperti bot pelancong biasa yang dikendalikan oleh tekong, pakej ‘Bot Pandu Sendiri’ ini membolehkan pelanggan mengemudi bot sendiri mengikut laluan yang telah ditetapkan selepas menerima taklimat keselamatan.
Bagi pelancong, pengalaman menjadi ‘kapten’ bot merupakan sesuatu yang cukup menarik. Mereka bukan sahaja dapat menikmati panorama laut, malah berpeluang merasai sendiri pengalaman mengendalikan bot di perairan yang tenang.
Pengasas Kawi Nature, Abdul Halim yang berpengalaman mengatur jadual aktiviti di sekitar Tanjung Rhu merupakan antara pengusaha yang berani merentas inovasi ini.
Jika dahulu pelancong lebih gemar mengikuti pakej berkumpulan, kini mereka cenderung mencari pengalaman yang lebih peribadi dan fleksibel. Faktor ini menjadikan konsep pakej ‘Bot Pandu Sendiri’ ini boleh menjadi semakin relevan.
Pengalaman pandu sendiri bot
Bot yang saya dan isteri gunakan untuk trip ini bersaiz 19 kaki bernadikan enjin 40 kuasa kuda dan dilengkapi sistem navigasi dan sonar, jaket keselamatan, kit kecemasan, alat komunikasi serta panduan laluan selamat yang jelas.
Sebelum memulakan perjalanan, kami diberi penerangan mengenai fungsi kawalan bot, had kelajuan, kawasan larangan serta prosedur kecemasan.
Aspek keselamatan menjadi perkara paling utama dalam pengendalian bot pandu sendiri. Setiap pelanggan perlu memakai jaket keselamatan sepanjang masa.
Abdul Halim juga akan memastikan keadaan cuaca sesuai sebelum membenarkan bot keluar ke laut. Sekiranya angin kuat atau laut bergelora, perjalanan akan ditangguhkan demi keselamatan semua pihak.
Selain itu, laluan pelayaran turut ditetapkan bagi mengelakkan pelanggan memasuki kawasan sensitif seperti laluan kapal-kapal besar, kawasan air cetek dan berarus kuat.
Salah satu kelebihan utama konsep ini adalah fleksibiliti. Pelanggan boleh memilih tempoh sewaan mengikut keperluan, sama ada dua jam, empat jam, setengah hari atau sehari penuh.
Pulau Langkawi dikelilingi pulau-pulau batu kapur kecil yang unik, sekali gus menambahkan pengalaman memandu bot sendiri menjelajah perairan ini sambil memancing.Mereka bebas singgah di lokasi yang dibenarkan untuk bergambar, menikmati makanan ringan atau sekadar berehat sambil menghayati panorama laut di Langkawi.
Bagi kaki fotografi, pengalaman ini membuka peluang merakam pemandangan dari sudut yang jarang dapat dinikmati oleh pelancong biasa seperti gugusan pulau batu kapur dan kehadiran helang.
Istimewa bagi kaki pancing, terdapat juga pakej yang menggabungkan aktiviti memancing santai. Pelanggan boleh membawa peralatan memancing sendiri atau menyewa daripada pengusaha.
Spesies ikan seperti gelama, kerapu, siakap merah dan beberapa ikan karang lain sering menjadi buruan pemancing rekreasi.
Jana ekonomi tempatan
Pada masa sama, konsep ini turut memberi manfaat kepada ekonomi tempatan. Selain membuka peluang pekerjaan sebagai penyelia keselamatan, juruteknik bot dan petugas marina, ia juga membantu merancakkan sektor penyelenggaraan bot, pembekalan bahan api, kedai peralatan marin serta industri makanan dan minuman berhampiran jeti.
Pengusaha hotel dan resort juga dijangka menerima tempias positif apabila pakej penginapan digabungkan dengan aktiviti bot pandu sendiri.
Pelancong yang sebelum ini hanya menginap satu malam mungkin memilih untuk tinggal lebih lama bagi menikmati pelbagai aktiviti yang ditawarkan.
Namun begitu, pembangunan produk pelancongan ini perlu disokong dengan garis panduan yang jelas. Pengusaha perlu memastikan setiap bot diselenggara mengikut piawaian keselamatan.
Manakala pelanggan perlu mematuhi segala syarat yang ditetapkan. Latihan asas kepada kakitangan dan prosedur operasi standard yang teratur amat penting bagi memastikan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
Di samping itu, pemeliharaan alam sekitar tidak boleh diketepikan. Kami diberi taklimat supaya tidak membuang sampah ke laut, tidak merosakkan terumbu karang dan tidak mengganggu hidupan marin.
Pendekatan pelancongan lestari perlu menjadi asas kepada setiap aktiviti yang dijalankan agar keindahan Langkawi dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.
Melihat kepada perkembangan industri pelancongan global, ramai pelancong kini mencari pengalaman yang unik dan autentik. Mereka bukan sekadar mahu melihat sesuatu tempat, sebaliknya mahu merasai sendiri pengalaman yang tidak dapat diperolehi di destinasi lain.
Dalam konteks ini, bot pandu sendiri mempunyai potensi besar untuk memenuhi permintaan tersebut.
Dengan gabungan keindahan alam semula jadi, kemudahan moden, sistem keselamatan yang baik serta sokongan daripada pihak industri dan kerajaan, perkhidmatan sewa bot pandu sendiri berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan marin paling menarik di Malaysia.
Langkawi telah lama dikenali sebagai permata pelancongan negara. Kemunculan produk baharu seperti ini bukan sahaja menambah pilihan aktiviti kepada pelancong, malah mampu meningkatkan daya saing industri pelancongan negara di peringkat antarabangsa.
Sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil suatu hari nanti Langkawi akan dikenali bukan sahaja sebagai destinasi island hopping dan geopark bertaraf dunia, malah sebagai kawasan utama bagi pengalaman self-drive boating di Asia Tenggara.

13 hours ago
9


![[VIDEO] ‘Tak sangka mi goreng dan cekodok boleh ‘seviral’ ini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-13-at-19.53.42.jpeg)













































