SHAH ALAM – Pelajar lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu, meminta maaf ketika memberi keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Perkara itu dimaklumkan peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh juvana berusia 15 tahun tersebut ketika penangguhan prosiding itu di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid.
Menurut peguam itu anak guamnya memohon maaf semasa memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
“Penama (tertuduh juvana) telah membuat pilihan untuk memberi keterangan tidak bersumpah (unsworn statement) dari kandang pesalah sebab dia duduk dalam kandang, tapi dia memberikan membaca satu (kenyataan) statement yang pendek. Dia juga meminta maaf atas apa yang telah berlaku menyebabkan kematian dan sebagainya,” kata peguam itu.
Kata peguam itu, selepas tertuduh juvana tersebut selesai memberikan keterangan, pihak pembelaan kemudian memanggil saksi pembelaan kedua iaitu sorang doktor Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr. Ian Lloyd Anthony untuk memberi keterangan.
Dalam pada itu, peguam itu turut memaklumkan pihaknya akan menggunakan peruntukan Seksyen 84 iaitu tidak siuman (unsound mind insanity).
Perbicaraan keterangan daripada doktor psikiatri itu bersambung lagi petang ini.
Terdahulu mahkamah memerintahkan penama membela diri atas pertuduhan bunuh itu selepas
mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pendakwaan kes tersebut.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun itu (ketika kejadian) didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama di sini antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.
Sebaliknya, Seksyen 97(2) memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan atas kesalahan sedemikian hendaklah ditahan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, atau selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri jika kesalahan itu dilakukan di sesebuah negeri. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
9


![[VIDEO] ‘Tak sangka mi goreng dan cekodok boleh ‘seviral’ ini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-13-at-19.53.42.jpeg)













































