Air mati bawa tuah jigging di perairan Kelanang

13 hours ago 10

Perairan Kelanang, Selangor tidak asing lagi bagi komuniti pemancing di Lembah Klang. Kami menaiki bot bernombor 55 yang dikemudikan oleh tekong Long Fazer untuk ‘menyelongkar’ lubuk-lubuk berpotensi dengan hasil amat memuaskan.

Tepat pukul 6.30 pagi, kami sudah memulakan pemanduan dari Klang menuju ke daerah Jugra, Selangor. Kami tiba di Jeti Nelayan Kelanang seawal pukul 8 pagi dan menunggu tekong sampai.

Menariknya tentang tekong ini, dia punya falsafah pemancingannya yang tersendiri dengan meletakkan syarat pemancing perlu merujuk kepadanya terlebih dahulu bagi menilai kesesuaian jadual pasang surut air sebelum mana-mana trip.

Berdasarkan carta air yang menunjukkan air mati, strategi awal telah diatur.

Pilihan utama kami tertumpu kepada penggunaan jig yang mempunyai profil jatuhan melayang (flutter) bagi memikat ikan pasif.

Bagaimanapun, pemilihan berat jig harus diimbangi dengan kedalaman lubuk yang bakal diterjah.

Memandangkan lubuk-lubuk sasaran mempunyai anggaran kedalaman antara 50 hingga 100 meter, saiz jig antara 170 hingga 200 gram menjadi pilihan paling ideal.

Hal ini selaras dengan pesanan daripada tekong: “Guna jig besar sikit.”

Kami akur dan memastikan set peralatan yang dibawa adalah daripada kelas heavy duty.

Hazique ‘terlantar’ bersebelahan dengan GT bagaknya selepas pertarungan hebat.

Bagi menjamin ritma jig di dasar laut kelihatan hidup, kami mempertaruhkan set jigging berkekuatan PE2 hingga 4.

Kombinasi ini memberikan imbangan terbaik antara keanjalan joran untuk teknik pitching dan kuasa mengepam (backbone) apabila bertarung dengan ikan dasar saiz kasar.

Gergasi tepi karang

Sesi pagi bermula dengan atmosfera yang agak suram. Cuaca mendung diiringi angin dingin sepoi-sepoi menyapa wajah, manakala pancaran matahari pagi pula masih redup.

Cuaca sebegini biasanya menuntut pemancing bekerja keras sekiranya hidupan dasar memilih untuk ‘berdiet’.

Setelah bot melepasi muara sungai, perjalanan ke lubuk pertama mengambil masa sekitar 45 minit. Tempoh tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengemas kini ikatan perambut dan menyusun atur jig yang bakal diturunkan.

Jam menunjukkan tepat pukul 10.30 pagi apabila enjin bot diperlahankan, menandakan kami telah tiba di lubuk pertama. Kedalaman dikesan berada pada paras 70 meter.

Saya memilih untuk menurunkan jig berprofil kompak seberat 200 gram sebagai langkah awal untuk membaca kekuatan arus dan kontur dasar laut.

Belum sempat peluh pertama membasahi dahi, keheningan pagi dipecahkan oleh jeritan nyaring kekili milik adik saya, Muhammad Hazique. Sesuatu yang amat agresif telah membaham jig Zeepro milik­nya tanpa amaran.

Meskipun dia menggunakan joran PE4 dan sistem drag kekili telah dikunci ketat, namun tali pancing tetap keluar meluru bagai langsung tiada kekangan.

Kuasa ikan pemangsa itu benar-benar menguji ketahanan peralatan. Melihat keadaan genting tersebut, tekong dengan tangkas mengemudi bot bagi menuruti arah benaman sang gergasi untuk mengelakkan tali putus bergesel karang.

Suasana jeti Nelayan Klanang ketika waktu petang.

Ternyata, ketenangan dan ketahanan fizikal petarung menjadi penentu. Selepas perlawanan sengit selama tujuh minit yang mengerah segala keringat, kelibat sasa berona perak gelap mula kelihatan di permukaan air.

Seekor giant trevally (GT) bersaiz mega berjaya ditimbulkan di permukaan air. Ia dinaikkan dan diukur, angka keramat 101 sentimeter tertera di pita pengukur. Ini merupakan rekod ikan peribadi terbesar yang pernah didaratkan oleh Hazique.

Sesi petang

Selepas kejayaan awal itu, paparan pada skrin sonar menunjukkan indikasi merah yang padat, menandakan lubuk dipenuhi hidupan. Bagaimanapun, sifat air mati membuatkan ikan berperangai pasif.

Rabaan jig selepas itu sekadar memikat spesies kurang agresif. Dalam pada itu, Ah Yi dapat juga menaikkan seekor ikan kacang dan seekor talang untuk menceriakan keadaan.

Menjelang tengah hari, cabaran sebenar tiba, angin Barat mula bertiup kencang, mewujudkan alunan laut yang sangat agresif.

Di sinilah ketahanan fizikal pemancing diuji. Ada yang terpaksa berehat seketika di bangku bot bagi meredakan ‘pusingan’ alam. Fasa ‘kucah’ itu berlarutan sehinggalah pukul 3 petang.

Tekong membuka langkah kanan di sesi petang dengan mendaratkan seekor jenahak. Tidak lama kemudian, Abang Boy selaku organizer trip berteriak di buritan bot apabila jorannya melengkung.

Melihat pada gaya henjutan, kami pada mulanya menjangkakan ia seekor kerapu besar. Selesai sahaja pertarungan dramatik itu, timbul kelibat kilauan perak memecah permukaan air, barulah misteri terungkai.

Ia merupakan seekor lagi GT bersaiz mega yang merobek jig miliknya.

Perairan Kelanang sentiasa menjanjikan hasil tangkapan yang baik jika kena pada harinya.

Suasana bot menjadi semakin gamat. Beberapa sentakan silih berganti berlaku di bahagian haluan bot, termasuk kejayaan menaikkan beberapa ekor GT bersaiz hidangan.

Trofi siakap merah

Melihat pesta strike yang bertali arus, saya menggagahkan diri bangkit daripada mabuk laut. Semangat memancing kembali membara. Pemerhatian saya mendapati ikan-ikan pada waktu itu sangat tertarik dengan jig berwarna gelap.

Tanpa membuang masa, saya menurunkan jig keluaran Kail Jig berwarna hitam dan emas atau lebih dikenali dengan gelaran ‘tebuan’.

Jig diturunkan ke dasar yang kini mencecah kedalaman 95 meter. Sebaik sahaja ia mencecah lantai laut, saya melakukan hayunan pitch. Tiba-tiba, satu ragutan yang sangat padu menghentamnya.

Joran tunduk ke permukaan air. Ikan dengan rakus cuba membawa tali ke dalam karang. Saya berusaha sedaya upaya memusingkan kepala ikan keluar dari kawasan struktur.

Disebabkan berat dan corak penentangan yang padu, saya menyangka ia merupakan seekor jenahak berstatus ‘bantal’.

Namun apabila mangsa timbul di permukaan, jangkaan itu meleset sama sekali. Rezeki yang amat istimewa apabila seekor ikan siakap merah bersaiz kasar berjaya digancu naik.

Apabila diukur, ia mencatatkan panjang 60 sentimeter, satu saiz yang jarang ditemui untuk spesies ikan tersebut di perairan terbuka.

Sebelum tirai trip dilabuhkan, Ah Yi sekali lagi mempamerkan sentuhan berbisa dengan mendaratkan seekor lagi GT dan seekor jenahak sebagai penutup rasmi trip.

Trip kali ini membuktikan dengan pemilihan peralatan yang betul, pembacaan arus tepat dan tunjuk ajar daripada tekong berpengalaman, air mati sekalipun mampu melahirkan hasil luar biasa.

Perairan Kelanang sekali lagi membuktikan statusnya sebagai lubuk emas tersembunyi.

Read Entire Article
Pertanian | | | |