Nahas UPSI: 4 syor elak kejadian berulang

5 hours ago 4

PETALING JAYA – Sebanyak empat syor utama telah dikemukakan kepada kerajaan oleh Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan bagi mengelakkan tragedi yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu daripada berulang.

Syor tersebut merangkumi aspek infrastruktur jalan, kepatuhan operasi dan perlesenan, teknologi dan pemantauan, serta tadbir urus dan strategik.

Bagi aspek infrastruktur jalan, pasukan itu mencadangkan agar reka bentuk penghadang jalan di laluan berisiko tinggi dikaji semula bagi memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan semasa, minimum tahap TL-3.

Kata pasukan itu, penghadang juga disarankan agar dilengkapi dengan hujung tenaga serap jenis ‘end terminal’.

“Selain itu, pasang papan tanda had laju, chevron (tanda sesiku keluang) dan amaran selekoh dalam jarak pandangan mencukupi, serta baiki atau ganti semua penandaan jalan yang pudar.

“Gunakan bahan retro-reflektif berintensiti tinggi untuk visibiliti pada waktu malam. Malah, ada keperluan untuk menilai pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di lokasi berisiko untuk memperkukuh pematuhan kelajuan,” katanya menerusi Laporan Awal Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) hari ini.

Bagi aspek kepatuhan operasi, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) disaran memperkukuh penguatkuasaan terhadap amalan pemajakan lesen yang tidak sah.

“Pindaan kepada syarat pelesenan termasuk perakuan integriti dan pengenalpastian jelas antara pemegang lesen, kenderaan dan pemandu perlu dilaksanakan.

“Cadangan lain ialah melaksanakan sistem penandaan badan kenderaan yang mewajibkan paparan nombor lesen pengendali secara kekal dan jelas pada kenderaan bagi tujuan pengesahan pantas di lapangan

“Kementerian Pengangkutan turut disaran menerbitkan garis panduan rasmi yang membezakan antara subkontrak operasi yang sah dan pemajakan lesen yang dilarang, bagi mengelakkan kekeliruan dan manipulasi,” jelasnya.

Pasukan itu turut mencadangkan pelaksanaan sistem pemantauan bersepadu terhadap semua kenderaan komersial yang membolehkan pengawasan masa nyata terhadap tingkah laku pemanduan, kelajuan, lokasi, status lesen dan pematuhan terhadap syarat operasi.

“Sistem ini perlu merangkumi integrasi teknologi seperti GPS, ‘geofencing’, sistem amaran automatik dan analisis data prestasi, serta membolehkan perkongsian maklumat dengan agensi penguat kuasa secara bersepadu dan proaktif.

“Bangunkan pangkalan data pemandu bersepadu yang mengandungi rekod disiplin, lesen, latihan dan sejarah kemalangan yang boleh diakses oleh agensi berkaitan dan pengendali sah,” katanya

Dalam aspek tadbir urus, kerajaan disarankan mempertimbangkan pengembalian kuasa penguatkuasaan pengangkutan awam darat kepada APAD, atau menubuhkan semula agensi khusus seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Pertimbangkan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) sebagai sebuah badan siasatan bebas dan berwibawa bagi semua mod pengangkutan dapat memastikan penyiasatan kemalangan dijalankan secara profesional, objektif dan berterusan,” cadang pasukan itu.

Di samping itu, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut digalakkan bagi mengesan corak pemanduan berisiko, meramal kegagalan sistem, dan mencegah insiden awal melalui analisis data masa nyata.

Pasukan tersebut menegaskan bahawa laporan dan syor yang dikemukakan bukan bertujuan untuk menyalahkan atau menentukan liabiliti mana-mana pihak.

“Sebaliknya, dapatan dan syor dalam laporan ini bertujuan mencegah kejadian serupa daripada berulang, memperkukuh sistem keselamatan pengangkutan jalan raya, serta melindungi nyawa dan kesejahteraan pengguna jalan raya.

“Pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang disyorkan akan membantu menangani kelemahan yang dikenal pasti, mengukuhkan kerangka pematuhan, dan menutup jurang dalam penguatkuasaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |