Nahas bas ekspres: Seorang penumpang maut ketika terima rawatan

3 weeks ago 22

GOMBAK – Seorang penumpang bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tiga tan di Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Difahamkan, mangsa lelaki berusia 36 tahun menaiki bas tersebut bersama isteri dan empat orang anaknya dari Kedah menuju ke rumah yang terletak di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.45 pagi melibatkan sebuah bas, sebuah lori bonded dan sebuah motosikal.

“Siasatan awal mendapati pemandu bas yang berada di lorong kanan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sehingga mengakibatkan kenderaan itu melintang di tengah jalan.

“Lori bonded dan motosikal yang datang dari arah sama kemudiannya melanggar bahagian kiri bas tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Noor Ariffin berkata, pemandu lori, penunggang motosikal serta tujuh penumpang bas lain yang cedera parah sedang dirawat di hospital yang sama.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu bas dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Noor Farah Hanim binti Abu Bakar di talian 019-3311552 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222.

Terdahulu, seramai lapan anggota beserta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 5.24 pagi.

Kejadian membabitkan sebuah bas ekspres dan lori seberat tiga tan yang membawa seramai 42 penumpang termasuk dua pemandu bas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata setibanya di lokasi, terdapat lima mangsa tersepit termasuk seorang pemandu lori.

Beliau berkata anggota mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa terakhir berikutan struktur pembahagi jalan menghimpit kaki.

“Mangsa pertama wanita dikeluarkan pada pukul 6.06 diikuti dengan mangsa kedua lelaki diselamatkan pukul 6.08.

“Pada pukul 6.10 mangsa wanita juga dikeluarkan, kemudian pemandu lori dikeluarkan pada pukul 6.15. Mangsa terakhir dikeluarkan pada pukul 8.53 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |