KUALA LUMPUR – Mutu pendidikan yang baik merupakan asas utama bagi mengangkat martabat negara ke tahap lebih tinggi serta membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan pendidikan bukan sahaja berasaskan kepada kemahiran dan teknologi baharu, tetapi juga harus disertai dengan nilai kemanusiaan, empati dan ihsan yang menjadi teras konsep Negara Madani.
“Negara ini mampu terangkat sebagai negara hebat dengan mutu pendidikan yang baik. Dalam masa yang sama, negara harus lebih prihatin, empati dan ada ihsan kepada rakyat dengan memastikan setiap warga tidak tersisih daripada mendapat rawatan dan perubatan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan IJN University College, di sini, hari ini.
Menurut beliau, institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berjiwa kemanusiaan dan memahami tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Anwar berkata, gabungan antara pendidikan dan kesejahteraan, seperti yang diterapkan di IJN University College, seiring dengan agenda perubahan dan pembangunan negara.
Menurutnya, kerajaan menggunakan segala keikhtiaran termasuk mencari serta mengumpul dana bagi memastikan IJN terus diberi perhatian sewajarnya kerana institusi itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dalam bidang kesihatan negara.
Katanya, sinergi antara kemahiran dan kepakaran ulung negara yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang perubatan tetapi juga berperanan sebagai pendidik menjadikan gabungan tersebut satu kerjasama yang ideal.
Tambahnya, kerajaan komited menambah baik sistem pendidikan dengan memastikan setiap pelajar tanpa mengira latar belakang berpeluang mendapat pendidikan berkualiti yang mampu mengubah kehidupan mereka dan keluarga. – KOSMO! ONLINE

2 days ago
11











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































