Mula-mula ‘sex education’, tiba-tiba tanya pelajar suka ‘perisa kondom’ apa

23 hours ago 5

PETALING JAYA – Sebuah program pendidikan seksual dijalankan di sebuah sekolah menengah mendapat perhatian netizen selepas seorang pengguna Facebook berkongsi pengalaman menghadiri program tersebut yang dianggap ‘terlajak’ dalam penyampaian.

Menerusi hantaran dimuat naik Hanan Humaira dengan tanda pagar #ReproAlert, dia menceritakan bagaimana sesi yang pada awalnya dilihat sebagai inisiatif baik dalam mendidik pelajar mengenai isu seksualiti, akhirnya mencetuskan kekeliruan dan rasa tidak selesa.

Katanya, secara tiba-tiba seorang penceramah dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) AIDS didakwa bertanya soalan berbaur lucah kepada peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan dua.

“Beria pulak cerita mengenai kondom sekarang ada yang pelbagai perisa. Budak-budak itu baru sekolah menengah kot…siap ‘interview’ beberapa pelajar tanya ‘awak suka perisa apa?’ (merujuk kepada kondom) ‘Like what?’…perlu ke?,” soalnya.

Wanita itu juga mempersoalkan pendekatan yang dibawa oleh penceramah tersebut selain mencadangkan agar memilih kaedah lebih sesuai dalam mendidik golongan remaja berkaitan pendidikan seksual.

“Mungkin sebab mereka dah biasa bagi ceramah dekat golongan yang berisiko atau dah kena penyakit itu (HIV). Jadi, ‘prevention is better than cure’.. sebab HIV atau AIDS tiada ubat. Tapi untuk pelajar sekolah macam tak sesuai la.

“Remaja ini banyak kena pupuk untuk abstinen (penghindaran). Alhamdulillah ‘speaker’ selepas tu dari KKM (Kementerian Kesihatan) banyak murnikan balik. Banyak cerita berkenaan abstinen (penghindaran), ikhtilat, zina, tanggungjawab bila dah baligh,” katanya.

Perkongsiannya turut mengundang perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial, ada yang menyokong kepentingan pendidikan seks tetapi berpandangan ia mesti disampaikan mengikut kesesuaian umur dan sensitiviti budaya masyarakat Malaysia.

“Penat nak luruskan pemahaman pendidikan seksualiti…begitu je dia ajar ‘safe sex’ dekat budak-budak ini,” kata Najwa Hanim.

“Alamak…keluar topik soalannya pun. Bagus bagi pendedahan begini, tapi cara penyampaia, soalan diajukan perlu bersesuaian dengan peserta, kalau mereka ini golongan bawah umir, tidak semu perlu diceritakan kerana mereka juga tidak terdedah kepada kegunaan sedemikian,” pesan Asyikin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |