Mohamed Usuf pangku jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur

7 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad kini memangku jawatan sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur, berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas daripada Datuk Rusdi Mohd. Isa yang baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad, yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, dalam satu perhimpunan khas sebelum majlis serah tugas itu, Rusdi memuji tahap disiplin anggota Polis Kuala Lumpur sepanjang tempoh beliau menerajui pasukan tersebut.

“Saya dapati tahap disiplin keseluruhan anggota polis Kuala Lumpur berada pada tahap yang memuaskan.

“Oleh itu, saya menyeru semua anggota untuk terus mengekalkan tahap disiplin ini,” ujarnya.

Beliau turut mendoakan agar pasukan Polis Kuala Lumpur terus cemerlang dan mengekalkan tahap profesionalisme tertinggi dalam menjaga keselamatan masyarakat dan negara.

“Justeru, saya mengajak semua untuk terus bekerjasama dalam menjayakan usaha kita bersama dan memastikan Polis Kuala Lumpur mencapai matlamat serta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Polis Kuala Lumpur yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan mengharumkan nama pasukan melalui pencapaian cemerlang mereka,” jelasnya.

Rusdi berkata, statistik jenayah bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 berbanding tempoh sama pada 2025 menunjukkan penurunan sebanyak 28 peratus dalam indeks jenayah, iaitu penurunan sebanyak 1,151 kes.

“Jenayah kekerasan mencatat penurunan sebanyak 29 peratus, daripada 790 kes pada 2024 kepada 563 kes pada 2025.

“Sementara itu, jenayah harta benda merekodkan pengurangan 27 peratus, iaitu daripada 3,377 kes kepada 2,453 kes,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |