MEKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan kira-kira dua juta pek makanan tengah hari dan malam yang diagihkan kepada jemaah di Madinah dan Mekah merangkumi 42 jenis menu berbeza yang mengekalkan 80 peratus rasa masakan Malaysia.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, TH amat menitikberatkan kesejahteraan, keselamatan dan keselesaan jemaah termasuk permakanan yang mana menu disediakan bukan sahaja memenuhi cita rasa Malaysia, malah berkhasiat dan mengekalkan kualiti pada tahap terbaik.
Menurut beliau, di Tanah Suci ini, TH mempunyai tujuh dapur masing-masing dua di Madinah (Hotel Anwar Madinah Movenpick dan Emaar Royal) serta lima di Mekah (Al Wafa Catering, Fawzy Abo Rozeyza, Tadco Catering, Mohsen Al Amoudi dan Nakha Alia Catering).
“Berdasarkan tahun-tahun sebelum ini, jumlah pek makanan yang dikeluarkan sepanjang musim haji mencecah dua juta pek sajian. Daripada ribuan sajian kita memilih 42 jenis menu berbeza disediakan untuk jemaah. Di Madinah, menu berputar sekali (single rotation), manakala di Mekah, dua kali rotation (minggu pertama dan kedua).
“Dari segi kawalan kualiti dan kesihatan, semua menu yang kita buat di sini telah pun diteliti oleh Tabung Haji dan diperhalusi Kementerian Kesihatan (KKM). Kita mempunyai nasihat daripada pakar diet berkait kadar nutrisi yang diberi kepada jemaah serta dalam setiap hidangan,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas melawat dua dapur di Dapur Al Wafa dan Makkah Kitchen, di sini baru-baru ini.
Jelasnya, TH mempunyai 17 cef yang dibawa dari Malaysia untuk bekerja di sini bagi memastikan kualiti dan juga masakan yang dibuat itu mempunyai sekurang-kurangnya 80 peratus cita rasa Malaysia.
“Bahan mentah yang digunakan berkualiti, contohnya TH menggunakan beras basmati dari India, daging dari Brazil dan semua ini adalah halal, begitu juga premix yang dibawa khas dari Malaysia untuk mendapatkan cita rasa seperti kurma, sambal dan sebagainya.
“Pada waktu puncak iaitu ketika semua jemaah (anggaran 31,600 orang) berada di Mekah, penggunaan bahan mentah untuk satu hidangan adalah beras seberat 3.16 tan, protein 4.74 tan dan sayur pula 2.52 tan,” katanya.
Katanya, agihan makanan dilakukan sama ada di dewan makan atau ke tingkat penginapan bergantung kepada kesesuaian lokasi dan rata-rata jemaah yang ditemui memaklumkan sajian yang diterima mereka menepati cita rasa.
“Mungkin makan juga (makanan dibeli di luar), apa yang saya dapati di makan dua kali dekat luar dia makan, makanan TH pun dia makan. Jadi terdapat kepelbagaian makanan yang boleh diperoleh. Setakat ini kita lihat makanan yang dibuang tidaklah banyak,” tambahnya.
Sementara itu, seorang jemaah, Mahadzir Md. Yusuf, 59, berkata, makanan yang dibekalkan ternyata dimasak mengikut selera Malaysia dan dia berpuas hati serta berterima kasih kepada TH kerana menyediakan sajian tersebut.
“Buat jemaah yang belum sampai ke Tanah Suci, usah risau pasal makanan. Semua yang kita rasa nak makan ada di TH. Rasa Malaysia wujud di TH selain diet sihat. Sekian lama saya tunggu untuk pergi haji, puas hati dengan muassasah, jangan risau muassasah ini bukan ‘muassusah’,” selorohnya.
Rakan sebiliknya pula, seorang pegawai bank, Hairul Nizam Sahim, 49, berkata, makanan yang dibekalkan kepada jemaah dalam keadaan terbaik dengan saiz hidangan mencukupi untuk jemaah.
habis//