5 haiwan paling pembersih

3 hours ago 1

KEBERSIHAN bukan sahaja menjadi sifat atau lumrah manusia yang dikurniakan akal untuk kelihatan cantik dan kemas tetapi ada sesetengah haiwan juga yang sangat mementingkan perkara kebersihan ini.

Haiwan-haiwan ini perlu memastikan tubuh badannya sentiasa bersih dan rapi kerana mempunyai manfaat tertentu seperti menghindarkan diri daripada pemangsa dan juga memastikan badan sentiasa panas di tempat tinggal yang bersalji.

Berikut CitaRasa kongsikan lima haiwan yang sangat pembersih dan berdisiplin tinggi dalam menjalani rutin pembersihan diri serta kawasan tempat tinggal seperti dilaporkan oleh Smorescience.

1- Kucing

KUCING sangat berdedikasi untuk kekal bersih dengan menghabiskan masa berjam-jam setiap hari menjilat bulu. Para saintis menjangkakan kucing menghabiskan 24 hingga 50 peratus masa terjaga untuk membersihkan diri.

Lidah kucing dilitupi struktur kecil seperti tulang belakang yang dipanggil papila berfungsi seperti berus rambut yang memindahkan sejumlah besar air liur ke bulunya. Papila ini membantu membersihkan kotoran, bulu yang gugur dan apa-apa bendasing pada badannya.

Kucing juga secara semula jadi mengelak daripada membuat kucar-kacir di ruang kediamannya. Ketaksubannya terhadap kebersihan adalah strategi kelangsungan hidup yang bijak. Di alam liar, kemas dan bebas bau bermakna mengurangkan risiko menjadi makanan pemangsa yang lebih besar.

2- Ikan lumba-lumba

IKAN lumba-lumba tidak bergantung kepada lautan semata-mata untuk membersihkan dirinya. Ia terlibat dalam hubungan simbiotik dengan ikan tertentu yang membantu membersihkan dengan memakan kulit mati dan alga dari badannya.

Makhluk pintar ini juga membersihkan diri dengan menggosok pada batu karang dan span laut yang membantu merawat kulit dan mengekalkan mikrobiom kulit yang sihat.

Pada musim panas 2019, penyelidik mengumpul sampel kecil daripada dua spesies karang lembut dan satu span laut di Laut Merah. Mereka mendapati bahawa ia mengandungi pelbagai bahan kimia dengan sifat antimikrob dan antibakteria serta sebatian yang serupa dengan estrogen yang boleh meningkatkan warna kulit lumba-lumba.

3- Songbird

Songbird atau burung penyanyi sangat mementingkan kebersihan dan dandanan diri. Setiap hari, ia akan menghabiskan masa berdandan menggunakan paruh untuk membersihkan dan meluruskan bulu. Ini membantunya mengeluarkan kotoran, parasit dan serpihan lain.

Sarang burung ini juga sangat kemas dan bersih. Ia juga akan terbang lebih jauh dari sarang untuk membuang sisa, makanan dan apa sahaja yang boleh menarik pemangsa. Kulit telur dan anak burung yang mati juga akan dibuang jauh dari situ.

4- Semut

SEMUT bukanlah tetamu kegemaran semua orang, tetapi haiwan kecil ini sangat bersih. Tidak seperti lalat atau lipas, semut tidak menyebarkan penyakit melalui makanan dan juga memastikan badannya bersih.

Semut menggunakan mulut untuk membersihkan kaki dan tangan serta semut-semut lain dalam koloni. Tanah jajahannya juga tersusun rapi dan bersih. Semut pekerja akan memindahkan sisa dan semut mati jauh dari kawasan tempat tinggal serangga itu. Haiwan ini juga mereka kawasan sampahnya jauh dari tempat makan dan tempat tinggal, menjadikan koloni semut antara yang paling bersih dan tersusun dalam dunia haiwan.

5- Beruang kutub

BERUANG kutub juga sangat mementingkan kebersihan dengan membersihkan bulunya supaya kekal hangat dalam persekitaran yang sejuk. Jika bulu kotor, ia tidak dapat memerangkap haba dengan baik dan menyukarkannya untuk kekal panas.

Selepas makan, beruang kutub akan membersihkan dirinya dengan berenang atau berguling di atas salji.

Ini membantu menanggalkan kotoran dan juga menyejukkannya (kerana ia boleh menjadi terlalu panas walaupun dalam keadaan beku). Biasanya, selepas makan selama 20 hingga 30 minit, beruang kutub akan mengambil masa lima hingga 10 minit untuk menjilat kaki dan muka.

Read Entire Article
Pertanian | | | |