Jangan jadikan maraton medan kaut untung 

6 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa penganjur acara maraton di negara ini agar lebih peka terhadap kadar yuran penyertaan yang dikenakan kepada peserta, khususnya dalam usaha menjadikan sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup rakyat.

Beliau berkata demikian susulan beberapa aduan daripada pelari tempatan mendakwa yuran penyertaan maraton terlalu mahal dan tidak sepadan dengan hadiah kemenangan, malah menganggap ada penganjur mengambil kesempatan mengaut keuntungan semata-mata.

“Saya harap penganjur akan lebih prihatin dan menetapkan kadar yuran yang mampu milik. Sukan adalah sebahagian daripada gaya hidup, bukan sekadar aktiviti sekali-sekala. 

“Kalau mahu galakkan lebih ramai sertai maraton, jangan jadikan ia terlalu mahal atau berorientasikan keuntungan semata-mata,” katanya ketika ditemui media pada Fiesta Boling Padang hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah menjelaskan setiap penganjuran acara larian, khususnya melibatkan penyertaan antarabangsa perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta badan induk sukan berkaitan.

Beliau tidak menolak kemungkinan kos permit, bayaran kelulusan dan perlindungan insurans menyumbang kepada kenaikan yuran yang terpaksa ditanggung peserta. 

“Saya sedar ada keluhan mengenai bayaran sanction yang tinggi dan mungkin juga kos insurans yang menyumbang kepada kenaikan yuran,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Hannah menegaskan penganjur perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan acara yang dianjurkan kekal inklusif dan mampu disertai oleh semua lapisan masyarakat.

Sebagai langkah galakan, KBS telah memperkenalkan insentif pengecualian cukai sehingga RM1,000 setahun di bawah kategori sukan yang meliputi pembelian peralatan dan yuran penyertaan kejohanan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |