Menderita kanser otak, Hakimi gigih jual kopi

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Seorang pemuda yang diuji penyakit kanser otak tetap gigih meneruskan kehidupan dengan mencari rezeki menjual kopi di sebuah pasar raya di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kisah kegigihan pemuda bernama Hakimi itu dikongsikan oleh Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Profesor Dr. Rozaimi Ramle, sekali gus mendapat pelbagai kata-kata semangat daripada orang ramai.

“Saya singgah untuk beli selipar anak saya Muaz yang dah koyak. Tiba-tiba saya disapa oleh anak muda bernama Hakimi ini. Ramah dia menegur saya, memeluk saya dan berkata, dia mengikuti saya.

“Namun, saya sedih dan simpati mendengar cerita dia diuji dengan menghidap penyakit kanser otak. Apa yang saya kagum, dia rajin bekerja dan semangat promosi kopi jualannya. Saya doakan agar dia diberikan kesembuhan segera. Sebagai tanda sokongan saya beli kopi yang dijualnya,” katanya pada hantaran berkenaan.

Rozaimi turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak berputus asa apabila diuji, sebaliknya melihat bahawa masih ramai insan lain yang berdepan ujian lebih berat dalam kehidupan mereka.

“Dalam kehidupan kita, ramai orang yang berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Bekerja mencari nafkah yang halal merupakan sebuah ibadah yang mulia di sisi Allah,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, pengguna media sosial turut mendoakan Hakimi diberikan kesembuhan serta kekuatan berdepan ujian yang menimpanya.

“Moga diberi kesembuhan dan kesihatan yang baik, insya-Allah,” komen pengguna Facebook @Ct Amirah.

“Semoga adik Hakimi diberi kesembuhan yang tidak meninggalkan bekas insya-Allah,” kata Afendy Basri.

Semoga diangkat segala kesakitan Hakimi, digantikan kesembuhan, dimurahkan rezeki dan diberkati serta diberikan kesabaran dalam menempuh segala ujian Allah insya-Allah,” komen Habibah Zakaria. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |