Mansuh UPSR, PT3 tidak jejas prestasi SPM

2 weeks ago 12

KUALA LUMPUR – Pemasuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) terbukti tidak memberi impak negatif terhadap prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia berdasarkan analisis terhadap keputusan SPM 2023 dan 2024 yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“UPSR dan PT3 dimansuhkan semasa dan selepas pandemik Covid-19. Peperiksaan awam yang kita ada cuma SPM dan ada yang menyatakan keputusan SPM akan merosot kerana tiada UPSR dan PT3.

“Tetapi hakikatnya tidak memberi impak negatif terhadap prestasi SPM,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjung Karang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Kah Woh menjelaskan, walaupun UPSR dan PT3 telah dimansuhkan, Ujian Akhir Sesi Akademik (USSA) dilaksanakan di peringkat sekolah.

Menurut beliau, USSA walaupun dikendalikan oleh pihak sekolah, tetapi standard atau spesifikasinya dikawal oleh KPM.

Jelas beliau, semua soalan berpaksikan kepada jadual spesifikasi ujian ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan (LPM) yang mengendalikan UPSR dan PT3 sebelum ini.

“Jadi daripada segi standard, latihan guru, memang guru dilatih dan kita turunkan kuasa autonomi kepada guru untuk membuat sesuatu yang terbaik kepada muridnya,” katanya.

Menjawab soalan asal William Leong Jee Keen (PH-Selayang), Kah Woh berkata, berdasarkan data sehingga semalam, kadar keciciran murid di sekolah rendah adalah 0.05 peratus, manakala di sekolah menengah adalah 0.59 peratus.

Menurut beliau, statistik itu diperoleh melalui Sistem Pengesanan KPM (SiPKPM) dan merangkumi sekolah di bawah KPM sahaja.

Kata beliau, bagi memperkukuh usaha menangani isu keciciran, Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 telah diluluskan yang memperluas Dasar Pendidikan Wajib daripada peringkat rendah ke peringkat menengah.

“Pindaan ini mewajibkan semua kanak-kanak Malaysia menamatkan pendidikan menengah, menjadikan pendaftaran dan kehadiran ke sekolah sebagai tanggungjawab ibu bapa.

“Langkah ini memastikan hak setiap anak Malaysia untuk mendapat pendidikan berkualiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |