Malaysia tutup kempen Petanque Asia dengan pingat perak

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Hasrat skuad petanque negara untuk merangkul pingat emas dalam acara triples remaja pada Kejohanan Petanque Asia tidak kesampaian apabila tewas di perlawanan akhir.

Pada aksi final yang berlangung di Arena Petanque Kuala Lumpur, Cheras hari ini, Malaysia terpaksa akur tewas 2-13 kepada Thailand yang boleh dianggap antara kuasa besar sukan petanque dunia.

Thailand dilihat memiliki kelebihan apabila membariskan dua juara dunia remaja, Suekham Pannada dan Aramrod Saharat berdepan pasukan negara yang dibarisi Muhammad Aidil Zakri Junaidi, Muhammad Arsyad Muhammad Tajuddin, Siti Noor Ellyshatul Balqish Suhaimi dan Nur Erissya Najwa Helmey.

“Thailand bermain sangat baik, terutamanya dari segi balingan. Kami cuba strategi balingan jauh tetapi tidak menjadi seperti dirancang, namun kami bangga dengan pencapaian ini,” kata Arsyad.

Sementara itu, jurulatih negara, Muhd. Nuzul Azwan Ahmad Temizi menganggap perak yang diraih merupakan satu pencapaian membanggakan kerana pasukan itu baru sahaja dibentuk Julai lalu.

“Dengan persiapan singkat dan kurang pendedahan antarabangsa, anak buah saya telah melakukan yang terbaik. Ini bukti program pembangunan remaja berada di landasan betul,” ujarnya.

Semalam, skuad triples lelaki dan wanita negara masing-masing meraih pingat gangsa apabila tersekat di separuh akhir selepas tewas kepada Kemboja yang lebih berpengalaman.

Sebagai rekod, Malaysia memulakan saingan dengan langkah kanan apabila Nur Iman Aina Ahmad Sabti, Muhd. Harith Muhaimin Hafaizul dan Muhd. Nuzul menyumbang dua perak dan satu gangsa dalam acara shooting.

Menutup tirai kejohanan yang sudah memasuki edisi keenam itu, Malaysia selaku tuan rumah meraih tiga pingat perak dan tiga gangsa, sekali gus dianggap sebagai tonik menjelang Sukan SEA Thailand 2025 bulan depan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |