Malaysia Speedy pertahan Piala Mirnawan

3 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki bawah 18 tahun (B-18) negara berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Mirnawan selepas menundukkan Jepun 4-3 dalam aksi final penuh debaran di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Malaysia Speedy bermula garang apabila mendahului 3-1, namun hampir dikejutkan apabila Jepun bangkit menyamakan kedudukan 3-3 pada suku terakhir permainan.

Ketika perlawanan tampak menuju penentuan pukulan penalti, skuad kendalian Nor Aqmal Abdul Ghaffar itu kembali mencipta magis.

Gol kemenangan hadir pada saat akhir menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhammad Safwan Salihe sekali gus memastikan trofi kekal milik Malaysia.

Safwan turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan selepas meledak sembilan gol, termasuk hatrik dalam aksi final hari ini.

Nor Aqmal nyata berpuas hati dengan ketenangan dan ketangkasan anak buahnya meskipun beraksi di bawah tekanan apabila terpaksa bermain dengan kekurangan pemain selepas dua layangan kad kuning.

“Secara keseluruhan, prestasi mereka meningkat dari satu ke satu perlawanan. Dari peringkat kumpulan hingga final, mereka terus menunjukkan peningkatan dan berjaya memanfaatkan peluang menjaringkan gol,” katanya.

MHC

Jurulatih itu mengakui pasukannya hampir terlepas kejuaraan, namun semangat juang pemain untuk tidak menyerah menjadi kunci kemenangan.

“Saya hanya ingatkan mereka kita mesti menang dan bawa pulang piala ini untuk Malaysia. Kita tidak boleh lepaskan kejuaraan ke tangan negara lain,” jelasnya.

Mengulas kekuatan Jepun, Nor Aqmal mengakui lawan kali ini lebih pantas dan cergas, namun anak buahnya bijak menyesuaikan taktikal untuk mengekang gerakan pantas mereka.

“Jepun pasukan yang sangat laju dan lebih bertenaga, tapi pemain kita berjaya mengawal tekanan dan bertahan dengan disiplin. Walaupun kekurangan pemain seketika, mereka tetap berjuang hingga ke akhir,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan pasukan itu menamatkan kejohanan tanpa kalah, selepas mencatat kemenangan dalam semua perlawanan kecuali satu keputusan seri 2-2 menentang Afrika Selatan di peringkat kumpulan.

“Kita ada ramai pemain muda berpotensi besar. Tahun depan kita akan teruskan momentum ini dan cuba tampil lebih baik. Saya yakin generasi ini boleh pergi jauh,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |