Malaysia juara keseluruhan Piala Dunia

4 hours ago 3

BUAT julung kali dalam sejarah, skuad boling padang negara melakar detik gemilang apabila dinobatkan juara keseluruhan pada Piala Dunia 2025 selepas mengungguli kutipan mata keseluruhan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Malaysia mengumpul 117 mata untuk menduduki tangga teratas, menewaskan pencabar utama Australia (111 mata) dan Hong Kong (105 mata) dalam kejohanan berprestij yang menghimpunkan pemain terbaik dari seluruh dunia.

Ketua jurulatih negara, Zuraidi Puteh menyifatkan kejayaan bersejarah itu sebagai hasil usaha berpasukan yang mantap dan dedikasi semua pihak di sebalik tabir daripada jurulatih, pegawai, sains sukan hingga ke sokongan logistik.

“Prestasi skuad sangat membanggakan. Kejayaan ini menggambarkan hasil kerjasama erat semua pihak, terutamanya Persatuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Majlis Sukan Negara (MSN) serta pasukan sains sukan yang banyak membantu dalam persediaan,” katanya.

Zuraidi berkata, ikatan kekeluargaan dan semangat setia kawan dalam kalangan pemain menjadi faktor utama kejayaan skuad kali ini.

“Kita dapat lihat sendiri bagaimana eratnya hubungan antara pemain dan jurulatih. Contohnya Emma (Firyana Saroji) dan jurulatihnya, semangat kekeluargaan itulah yang menjadi DNA sebenar pasukan kita,” jelasnya.

Tambahnya, kejayaan tersebut datang selepas penantian empat tahun penuh pengorbanan, hasil persiapan rapi yang melibatkan program latihan intensif, perlawanan simulasi, serta sokongan psikologi, pemakanan dan analisis prestasi yang dijalankan secara menyeluruh.

Zuraidi turut menegaskan pencapaian kali ini akan menjadi penanda aras baharu menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026 selain membuka peluang lebih besar untuk sukan itu diperkenalkan di pentas Sukan Olimpik Brisbane 2032.

“Kita berada di landasan tepat. Dengan barisan pemain muda yang semakin matang, saya yakin Malaysia akan kekal antara kuasa besar dunia untuk empat tahun akan datang,” katanya.

Sebagai rekod, kem kebangsaan mencatat kejayaan membanggakan menerusi Emma Firyana yang menepati ramalan dengan membawa pulang pingat emas, manakala Nur Alyani Jamil meraih gangsa acara perseorangan wanita.

Bekas pemain No. 1 dunia, Izzat Shameer turut menghadiahkan kilauan pingat gangsa kategori perseorangan lelaki, manakala Jariah Zakaria memastikan kontinjen Malaysia terus bersinar dengan gangsa perseorangan wanita para. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |